Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sultan Kelantan Tuanku Sultan Ismail Petra Tengku Yahya Petra hari ini memfailkan satu writ habeas corpus berhubung penahanan yang didakwa dialami oleh baginda.

Permohonan itu merupakan kes pertama seumpamanya yang akan didengar di Mahkamah Khas sejak ditubuhkan pada 1993.

Permohonan ini akan mula didengar di Mahkamah Khas di Putrajaya Isnin ini, dengan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

NONE Ia difailkan pada kira-kira jam 11.45 pagi ini melalui enam peguam mewakili baginda.

Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan peguam berkenaan berkata, permohonan hanya dapat difailkan hari ini setelah mereka berjaya mendapatkan arahan daripada ahli keluarga diraja itu.

"Biar saya jelaskan begini, afidavit ini difailkan untuk menyokong permohonan writ habeas corpus yang disahkan oleh Tengku Temenggong," kata Raja Aziz yang bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, arahan itu tidak semestinya dikeluarkan oleh Tuanku Ismail Petra sendiri.

NONE "Tidak penting bagi kita bahawa (arahan) diberikan oleh baginda. Jika dia tidak (mampu) bertindak sendiri, orang lain boleh mengarahkan untuk kita membawa (permohonan habeas corpus) bagi pihak baginda," kata Raja Aziz ( kanan ).

Beliau juga mengesahkan bahawa para peguam berjaya mendapatkan arahan daripada ahli keluarga Tuanku Ismail Petra secara berperingkat-peringkat sejak tiga hari lalu.

Seorang lagi peguam, Gobind Singh Deo berkata afidavit tersebut dibuat oleh Tengku Temenggong kerana peguam gagal untuk berjumpa Tuanku Ismail Petra dan raja perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

NONE "Kami pergi ke hospital (HUSM Kubang Kerian) dengan afidavit dan juga (seorang) komisioner dengan niat untuk mendapatkan pengesahan (tuanku). Tapi kami tidak dibenarkan berjumpa dengan tuanku," katanya.

Lima pihak yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu termasuk Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah HUSM Kubang Kerian.

Juga dinamakan ialah Ketua Pengarah Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan juga Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan juga dituntut supaya membuat penjelasan berhubung layanan yang diberikan ke atas Sultan Kelantan yang didakwa telah dinafikan hak dan kebebasannya.

azlan Dalam sidang media sama, seorang lagi peguam, Datuk Param Cumaraswamy berkata pihak polis perlu membuat penjelasan segera dalam isu melibatkan penahanan baginda tuanku.

"Kedua-dua ketua polis negeri Kelantan dan ketua polis negara ada banyak penjelasan yang perlu dibuat, mengapa sultan diperlakukan sebegitu rupa.

"Mereka bertanggungjawab (untuk jelaskan) kepada rakyat dan perlu bertanggungjawab atas segala tindakan yang telah diambil," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS