Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyiasat dakwaan sebuah badan pemantau tempatan yang menggelarkan diri sebagai "Pemerhati Pilihan Raya Sibu" (SEW) bahawa terdapat 209 pengundi di kawasan Parlimen Sibu yang berumur melebihi 100 tahun.
Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata pilihan raya kecil Sibu akan menggunakan senarai daftar pemilih tahun 2009 yang dikemas kini pada 9 April lalu.
"Saya tidak tahu senarai (daftar pemilih) mana yang mereka pakai tetapi kami (SPR) akan meneliti (dakwaan itu)," katanya kepada pemberita selepas taklimat media pilihan raya kecil Sibu di Sibu hari ini.
Semalam, SEW satu pertubuhan baru yang diwujudkan sebagai pemerhati bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.
Penyelarasnya Wong Meng Chuo berkata SEW yang mempunyai 22 anggota yang akan memantau perjalanan penamaan calon, kempen dan pengundian sepanjang pilihan raya
kecil itu.
Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu akibat barah hati.
SPR menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei.
- Bernama