Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dewan undangan negeri Pulau Pinang kecoh hari ini apabila Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim ( bawah ) memberi amaran bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika rakyat hilang keyakinan dengan pihak berkuasa dan sistem sedia ada.

NONE Mengulas bidasan orang ramai berhubung kematian remaja 14 tahun - Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis, Azhar menyoal sama ada rakyat mahu tentera mengambil alih negara memandangkan polis didakwa tidak lagi berkesan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) menjawab, DAP bukannya tidak menghormati jasa polis tetapi mereka tidak mengiktiraf Tan Sri Musa Hassan yang disifatkan sebagai tidak layak menjadi Ketua Polis Negara.

"Tidak ada salahnya kita mengkritik Musa Hassan (Tan Sri) kerana bagi kita dia tidak layak menjadi Ketua Polis Negara, ditambah lagi insiden terbaru melibatkan kematian Aminulrasyid (Amzah)", katanya

Azhar kemudian mengulangi lagi kenyataannya meminta agar pasukan tentera mengawal negara bagi menggantikan polis dan kenyataan itu menyebabkan beberapa penyokong kerajaan meminta Azhar menarik balik pandangannya kerana ia bersifat menghasut.

NONE Ketua pembangkang itu kemudian menarik balik kenyataannya itu selepas akur dengan arahan Speaker supaya berbuat demikian.

Bagaimanapun beberapa ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dan mencadangkan Azhar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Usul untuk merujukkan Azhar (BN-Penaga) ke jawatankuasa itu dicadangkan oleh Jagdeep Singh (DAP-Datok Kramat) dan disokong oleh lebih 10 anggota penyokong kerajaan.

Jagdeep Singh semasa mengemukakan usul itu berkata ketua pembangkang itu melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum. 

Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain yang meluluskan usul itu berkata, notis usul mengenai tindakan itu akan dihantar kepada Azhar.

NONE Sementara itu, Azhar ketika ditemui Bernama berkata beliau bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak khuatir terhadap sebarang tindakan yang bakal dikenakan.

“Saya bercakap seperti itu setelah Umno dan BN dihina dan dituduh sebagai rasuah, samseng dan sebagainya dan saya sanggup berhadapan dengan sesiapa pun walaupun dibawa ke mahkamah," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS