Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pilihan raya kecil Sibu mungkin tiga penjuru
Diterbitkan:  May 4, 2010 3:41 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Pilihan raya kecil parlimen Sibu pada 16 Mei ini mungkin akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, berkata setakat ini dua set kertas pencalonan telah diambil, satu oleh seorang wakil calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, dan satu set lagi oleh calon Bebas.

azlan "Calon DAP, Wong Ho Leng, yang dipilih oleh pakatan pembangkang Sarawak untuk bertanding masih belum datang ke pejabat saya untuk mengambil kertas pencalonan," katanya kepada pemberita di Sibu, hari ini.

Terdahulu, Wong menghadiri taklimat yang disampaikan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, kepada pegawai, pilihan raya dan mereka yang terbabit dalam pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil ke-11 sejak pilihan raya umum pada 2008 itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April di Kuala Lumpur akibat kanser hati.

Sementara itu, Wong berkata sebanyak 45 pusat pengundian akan diadakan dengan yang terkecil di SJK(C) Kai Nang di Ensurai dengan 143 pengundi berdaftar.

"Pusat pengundian terbesar ialah di Tadika Taman Rajang dekat Sibu dengan kira-kira 3,484 pengundi berdaftar.

NONE "Pusat pengundian paling jauh ialah SK Sungai Rasau, kira-kira sejam setengah perjalanan menaiki bot panjang yang mempunyai kira-kira 300 pengundi berdaftar," katanya.

Wong berkata, pusat penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Suarah Sibu.

Kerusi Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS