Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Exco hal ehwal agama Islam Selangor Datuk Dr Hasan Ali menepis kontroversi dalam penamaan semula sebatang jalan di Petaling Jaya.

Beliau ditanya sama ada penangguhan penamaan Jalan Barat kepad Jalan Dr V David itu berkait dengan perkenan Sultan Selangor.

Dr Hasan berkata, permasalahan penamaan semula sebatang jalan di Petaling Jaya melibatkan portfolio kerajaan tempatan yang dipengerusikan oleh Ronnie Liu.

Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim minggu lalu mengumumkan Jalan Barat akan dinamakan semula sempena Hari Pekerja, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, penukaran nama jalan itu 'tergantung' setakat ini apabila kerajaan negeri mengumumkan sedang mengenalpasti jalan lain untuk diabadikan dengan nama V David.

"Walaupun berkaitan dengan negeri tetapi kita dibahagikan mengikut portfolio, jadi lebih baik kalau soalan ini diajukan kepada YB Ronnie dan mungkin MBPJ daripada mendapatkannya (penjelasan) dari saya," katanya.

"Itu elok ditanyakan kepada YB Ronnie atau MBPJ dan autoriti yang terlibat," katanya.

Semalam, Ronnie dilaporkan berkata, kerajaan negeri Selangor tidak akan menarik balik keputusannya untuk menamakan sebatang jalan di Petaling Jaya sempena nama mendiang V David.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri sudah mengubah pendirian mereka.

Ronnie juga menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya, rancangan kerajaan negeri itu mendapat tentangan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sultan tahu mengenai rancangan kerajaan negeri untuk menamakan sebatang jalan bagi menghormati V David. Cerita mengenai sultan tidak merestuinya adalah tidak benar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS