Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan Negara tolak usul bahas isu Aminulrasyid
Diterbitkan:  May 4, 2010 1:57 PM
Dikemaskini: May 5, 2010 7:03 AM

Dewan Negara hari ini menolak usul Senator Dr S Ramakrishnan ( bawah ) dari DAP bagi membincangkan tragedi remaja yang ditembak polis, Aminulrasyid Amzah, 15, di Shah Alam, Selangor pada 26 April lalu.

NONE Speaker, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata usul yang dikemukakan mengikut peraturan Mesyuarat 17 (1) berkenaan ditolak kerana ia perkara yang tidak perlu disegerakan dan masih dalam siasatan polis.

"Setelah meneliti inti pati dengan terperinci usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat itu, saya berpendapat usul yang dibawa oleh Yang Berhormat itu adalah satu perkara tertentu.

"Usul yang dibawa itu ada tiga inti pati iaitu satu perkara tertentu, boleh diterima, berkepentingan ramai, boleh diterima namun saya berpendapat ia tidak perlu disegerakan untuk menangguhkan dewan," katanya.

Beliau berkata alasan bagi penolakan usul itu dibuat berikutan, pertama, kes tersebut masih dalam penyiasatan secara terperinci oleh polis dan polis telah menubuhkan unit penyiasat dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan adil.

NONE "Kedua, Kementerian Dalam Negeri juga sendiri telah menubuh sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk memantau kes berkenaan tanpa menyembunyikan sebarang fakta dan perkara-perkara lain.

"Ketiga, kerajaan juga memandang serius kejadian berkenaan di mana jemaah menteri turut menzahirkan rasa simpati ke atas kejadian malang yang menimpa adik Aminulrashid itu. Oleh perkara ini tidak perlu disegerakan, mengikut peraturan Mesyuarat 17 (2), saya menolak usul yang dikemukakan Yang Berhormat itu," katanya.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS