Kerajaan negeri Selangor tidak akan menarik balik keputusannya untuk menamakan sebatang jalan di Petaling Jaya sempena nama seorang pemimpin kesatuan, mendiang V David.
Sehubungan itu, exco kerajaan negeri yang bertanggung-jawab terhadap kerajaan tempatan, Ronnie Liu, menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri sudah mengubah pendirian mereka.
"Ia masih dalam rancangan sehingga kita dapat mengenal-pasti jalan yang sesuai bagi menghormati V David,” katanya ketika dihubungi.
Ronnie menjelaskan kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menangguhkan keputusan itu kerana kawasan yang dirancang itu akan menjalani ‘pembangunan semula’.
Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim minggu lalu mengumumkan Jalan Barat akan dinamakan semula sempena Hari Pekerja, Sabtu lalu.
Namun, perkara itu tidak menjadi kenyataan dan sesetengah pihak mendakwa kerajaan negeri telah membatalkan rancangan berkenaan.
"Pada mulanya, jalan yang dipilih itu adalah sama ada Jalan Barat atau Persiaran Barat, tetapi kerana seluruh kawasan itu akan menjalani pembangunan semula, kami berpendapat, kita sepatutnya berbincang semula..tetapi yang pasti jalan berkenaan akan dinamakan semula,” katanya.
Ronnie juga menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya, rancangan kerajaan negeri itu mendapat tentangan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Sultan tahu mengenai rancangan kerajaan negeri untuk menamakan sebatang jalan bagi menghormati V David. Cerita mengenai sultan tidak merestuinya adalah tidak benar,” katanya.