Sebelas NGO hari ini mengemukakan memorandum bagi mendesak kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan di raja atau jawatankuasa terpilih parlimen untuk mengkaji dan mengusulkan satu reformasi undang-undang dalam media.
Reformasi undang-undang itu adalah untuk meminumkan segala sekatan terhadap media cetak, penyiaran dan media internet.
Ia juga bertujuan memastikan semua mekanisme penapisan bersifat politik dihapuskan dan digantikan dengan sebuah badan autonomi dianggotai oleh pengamal media dan masyarakat.
NGO itu juga menuntut agar kerajaan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membela wartawan selaras dengan kebebasan berekspresi dan kebebasan maklumat daripada sebarang gangguan.
Selain itu, pengamal media sedia ada pula didesak menegakkan profesionalisme dan kebebasan media terhadap diri sendiri.
Desakan berkenaan terkandung dalam memorandum bersama yang dibaca oleh Pegawai Komunikasi Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Yip Wai Fong ( kanan, memegang mikrofon ) pada sidang akhbr di ibu negara, hari ini.
Mereka mendesak tuntutan tersebut dipenuhi sebelum sambutan Hari Kebebasan Akhbar berlangsung pada 3 Mei tahun hadapan.
Selain CIJ, beberapa NGO yang hadir memberi sokongan adalah Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Zunar dan 'Gedung Kartun Group', serta Pusat Untuk Inisiatif Polisi (CPI).
Turut hadir memberi sokongan adalah penerbit dokumentari "Galeri Mandarin Nasional" di RTM 2, Chou Z Lam ( kiri, berbaju putih ) dan penerbit "Editor's Time" ntv7, Joshua Wong Ngee Chong yang meletakkan jawatan 22 April lalu kerana mendakwa terdapat campur tangan melampau daripada pihak kerajaan dan juga penapisan yang keterlaluan.
Memorandum itu juga mendesak penjelasan segera daripada ntv7 dan RTM 2 berhubung insiden terbaru yang didakwa mengamalkan penapisan.
Mereka juga mahu jaminan tegas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa tidak ada campurtangan dari segi pentadbiran dan keluarganya untuk mempengaruhi pengamal media dalam menentukan topik, sudut pandang dan sumber.
Wai Fong juga menjelaskan Malaysia kini di tangga tercorot dalam 30 peratus dari kalangan negara yang menghormati kebebasan media.
Pada tahun ini, katanya, Malaysia berada di tangga ke-142 daripada 196 negara, bahkan berada di belakang negara ASEAN yang lain seperti Timor Timur, Filipina, Indonesia, Thailand dan Kemboja.
Memorandum itu juga menyenaraikan lapan kesalahan utama pelanggaran kebebasan akhbar yang berlaku sejak 12 bulan lalu.
Selain campurtangan di RTM 2 sehingga menyaksikan dua episod berhubung laporan empangan Bakun dihentikan dan dakwaan campurtangan politik dalam rancangan 'talk show' di NTV7, NGO berkenaan juga menempelak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang didakwa ‘menggangu’ portal berita bebas Malaysiakini .
Sebelum ini, SKMM menuntut Malaysiakini menarik balik dua video klip berhubung isu protes kepala lembu di Shah Alam pada September lalu dan menyoalsiasat 10 kakitangan portal itu dalam tempoh lapan jam.
Mereka juga turut membidas campurtangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas 408 naskah komik 'Gedung Kartun' yang didakwa "tidak mempunyai permit dan kandungannya masih dalam semakan".
Dalam perkembangan berkaitan wakil Wami, Ng Yap Hwa menjelaskan pihaknya juga mengadakan petisyen terbuka terhadap memorandum tersebut yang dibuka sehingga 28 Mei ini.
"Kita akan mendapatkan lebih banyak sokongan daripada NGO dan individu...Selepas itu kita akan serahkan memorandum tersebut kepada kerajaan, kerajaan negeri dan pengamal media," katanya.
Bagi kartunis terkenal Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar, beliau mengajak semua pihak memberi sokongan untuk bersama-sama menegakkan kebebasan akhbar di Malaysia.
Manakala wakil BERSIH, Andrew Khoo menggesa akhbar utama memberikan liputan dan membuat laporan secara berimbang supaya rakyat dapat maklumat yang lebih adil.
Beliau memberi contoh sebuah akhbar utama hari ini yang menyiarkan laporan penuh lawatan Najib ke Sibu sempena pilihan raya kecil di situ tetapi tidak menyiarkan laporan atau liputan terhadap calon DAP.