Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tewas pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, baru-baru ini berkata beliau tidak berniat menjadi timbalan presiden parti itu.
“Seperti yang saya katakan tahun lalu, misi politik saya hanyalah setakat memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan membantu pihak pembangkang pusat dalam membentuk dan menghurai soal-soal dasar bersama,” katanya dalam blognya hari ini.
Menurut Zaid adalah menjadi harapannya supaya keyakinan rakyat akan bertambah terhadap Pakatan Rakyat dalam usaha mengambil alih teraju pemerintahan negara.
“Soal dalaman PKR dan soal siapa memegang jawatan-jawatan penting dalam parti bukanlah perkara yang penting kepada saya. Cuma kalau PKR menjadi kucar-kacir, misalnya, dan ini pula akan menjejaskan Pakatan Rakyat, maka sudah tentu ia menjadi perkara penting untuk kita semua fikirkan dan mengambil berat.
“Saya ulangi sekali lagi bahawa saya tidak akan bertanding apa-apa jawatan penting dalam PKR. Saya hanya bersedia membantu dan menolong PKR pada bila-bila masa selagi bantuan dan pertolongan saya diperlukan,” katanya.
Bekas menteri undang-undang itu membuat kenyataan berkenaan bagi menjelaskan dakwaan bahawa kononnya beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden dan bersedia menentang naib presiden, Azmin Ali.
Adalah dipercayai bahawa timbalan presiden PKR sekarang ini, Syed Husin Ali tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu pada Disember ini.