Gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter diperkenalkan hari ini mendapat reaksi berbeza di kalangan orang ramai.
Tinjauan Malaysiakini di KL Sentral mendapati masih ramai yang tidak menyedari mengenai gerabak khas itu.
Masih ada lelaki yang duduk di gerabak berkenaan dan apabila diajukan soalan mengapa mereka tidak menghiraukan peraturan baru itu, ramai yang mendakwa mereka tidak tahu.
Apabila diberitahu bahawa ada pelekat di tingkap keretapi berkenaan, ada pula yang memberi alasan kononnya pelekat larangan itu ditampal di luar sedangkan apabila di dalam mereka tidak dapat membacanya.
Namun ada yang meninggalkan gerabak berkenaan setelah diberitahu mengenainya.
Antara mereka ialah Muhammad Norzariman Kazari ( kiri ) yang baru menduduki peperiksaan SPM.
Ditanya mengenai langkah itu, beliau berkata ia tindakan yang baik kerana “wanita akan berasa lebih selamat meskipun keretapi sesak”.
Penumpang wanita yang menaiki gerabak berkenaan pula kelihatan selesa kerana mereka tidak perlu lagi berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki.
Walaupun sesetengah penumpang lelaki berada di gerabak itu, namun penumpang wanita tidak memperdulikan kehadiran mereka.
Bagi V Sivaranjani ( kanan ), 23, beliau gembira KTM melaksanakan peraturan baru itu.
“Ketika waktu puncak jam 6 petang, kereta selalunya penuh. Kita terpaksa berhimpit dengan penumpang lain, khususnya lelaki semata-mata untuk mendapat ruang bagi berdiri. Jadi sekarang, keadaan lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, tinjaun Bernama juga mendapat gerabak khas untuk mendapat pujian daripada sebahagian besar penumpang.
Nurul Hidayu Safein, 23, berkata kemudahan itu memberi kesenangan kepada beliau setiap kali menggunakan perkhidmatan KTM Komuter.
Katanya, dengan pengasingan itu, beliau tidak perlu berebut dan berdiri lama dalam tren sebab bilangan penumpang berkurangan kerana gerabak itu tidak mempunyai penumpang lelaki.
Rabeah Abdullah, 50, berkata dengan adanya gerabak yang khusus untuk kaum wanita, peluang untuk golongan yang berumur seperti beliau untuk mendapatkan tempat duduk adalah lebih cerah.
Nur Hazimah Azmi, 21, berkata pengasingan gerabak itu boleh mengelak berlakunya gangguan seksual terhadap penumpang wanita terutama dalam keadaan sesak pada waktu puncak.
Gerabak khas itu boleh dikenal melalui pelekat berwarna merah jambu yang ditampal di setiap cermin tingkapnya.
Pemangku Pengurus Kanan Perhubungan Korporat KTM Komuter, Mohd Fazil Ismail, berkata terdapat juga kain rentang yang dipasang di setiap platform selain pengumuman mengenai pengasingan gerabak itu dibuat di beberapa stesen.
"Di stesen KL Sentral dan Sentul, kami menyediakan kakitangan untuk mengawasi penumpang manakala di stesen Putra, Kuala Lumpur, Bank Negara dan beberapa stesen lain yang menghala ke Sentul, kami akan membuat pengumuman saja berikutan dari kekurangan pekerja," katanya ketika mengiringi wartawan membuat tinjauan hari ini.
Mohd Fazli berkata, beberapa penumpang lelaki agak keliru dan ada yang masih menggunakan gerabak khas itu hari ini.
"Ia akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk melatih orang ramai supaya mematuhi arahan kerana kami akan selaraskan peraturan baru ini dimulai dengan laluan dari stesen Sentul ke Port Klang dulu," katanya.
Mohd Fazli berkata tempoh percubaan akan dilakukan selama seminggu untuk mendapatkan reaksi daripada orang ramai mengenai pengasingan gerabak itu dan pihak KTMB akan menaik taraf sistem tersebut di platform yang lain.