Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kedah: Mohd Nasir tak perlu mohon ampun
Diterbitkan:  Apr 28, 2010 4:58 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Ahli dewan undangan negeri (Adun) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, daripada Pas tidak perlu memohon ampun kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung soalan beliau pada persidangan dewan itu Isnin lalu yang didakwa mempersoalkan kuasa baginda sebagai ketua agama Islam Kedah.

penang kedah timber logging azizan abdul razak 310708 01 Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata maksud sebenar soalan Mohd Nasir adalah mengenai kuasa raja yang tidak dihormati dan bukannya mempertikaikan kuasa raja sebagai ketua agama.

"Yang timbul isu itu sebab wakil rakyat Barisan Nasionl tak faham," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Alor Star hari ini.

Azizan berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dengan Tuanku Abdul Halim semasa beliau menghadap baginda pada majlis perasmian Merdeka Beach Resort di Pantai Merdeka pagi semalam.

"Tak payah jelaskan kepada Tuanku sebab baginda dah faham dan semalam pun saya hubungi pula setiausaha sulit Tuanku dan depa (beliau) kata, abaikan saja," katanya.

Dua hari lalu, persidangan menjadi panas apabila Mohd Nasir mengajukan soalan yang dianggap oleh Adun Barisan Nasional sebagai mempertikai kuasa Sultan Kedah dan ini memaksa Speaker Datuk Abdul Isa Ismail membuat keputusan dua soalan itu tidak perlu dijawab.

Mohd Nasir bertanya sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Berikutan itu, Persatuan Kerabat DiRaja Kedah menuntut Mohd Nasir memohon ampun kepada Sultan Kedah dan memintanya menarik balik soalannya itu secara rasmi dalam persidangan Dewan.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS