Polis merakamkan petang ini keterangan saksi utama dalam kes remaja 15 tahun ditembak mati oleh polis awal pagi Isnin lalu.
Saksi tersebut yan g dilaporkan berada bersama mangsa - Aminulrasyid Amzah - semasa kejadian tersebut, memberi keterangan di ibupejabat polis kontinjen Selangor, di Seksyen 9, Shah Alam.
Peguam Gobind Singh Deo ( kanan ) yang mewakili saksi tersebut, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Ketika menjawab soalan Malaysiakini melalui SMS, Gobind memberitahu beliau mengiringi anak guamnya itu untuk memberi keterangan pada jam 3 petang ini.
Gobind Singh tiba di IPK Selangor pada kira-kira 3.15 petang. Sebelum itu, kira-kira jam 3 seorang pelajar - dipercayai saksi - tiba bersama ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali dalam sebuah kereta.
Go bind kemudiannya memberitahu media bahawa proses anak guamnya memberi keterangan bermula jam 3 petang dan dijangka selesai dalam tempoh sejam setengah hingga dua jam.
"Saya dimaklumkan siasatan hampir siap dan akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk diambil tindakan," katanya.
Saksi ditemani anggota keluarga dan ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali.
Gobind yang juga ahli parlimen Puchong berharap siasatan kes tersebut dalam diselesaikan dengan segera bagi mengheret pihak yang bersalah ke muka pengadilan.
Ditanya keadaan anak guamnya, Gobind berkata pelajar terbabit masih trauma, tertekan dan terkejut.
Sementara itu, Gobind juga berkata, DAP akan menghantar memorandum kepada ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam tempoh terdekat supaya polis membuat kajian terhadap garis panduan penggunaan senjata api.
Katanya, beliau faham bahawa polis perlu menggunakan senjata api bagi melindungi diri, tetapi "isunya bila perlu guna".
"Harap esok (boleh hantar), tetapi kita akan bincang bersama PAS dan PKR dahulu," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan menyaman pihak polis yang mengeluarkan kenyataan awal tentang kes itu, Gobind berkata perkara itu akan dipertimbangkan kemudian.
"Yang penting sekarang satu siasatan yang adil, bebas dan telus dijalankan sekarang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang peguam keluarga Aminulrasyid memberitahu Malaysiakini , ibu Aminulrasyid - Norsiah Mohamad, kakak arwah Norazura Amzah dan suaminya Muzaffar Mahali turut dirakamkan kenyataannya di IPK yang sama petang ini.
Puspawati Rosman berkata, dua anak guamnya sedang disoalsiasat mulai jam 6 petang.
Seorang lagi peguam mereka Latheefa Koya juga hadir menemani keluarga mangsa.
Sementara itu, seorang lagi peguam keluarga Aminulrasyid yang tiba kira-kira jam 6 petang tadi memberitahu Malaysiakini , kesemua anak guamnya selesai memberikan keterangan hampir jam 9 tadi.
Farhana Abdul Halim berkata, beliau tidak pasti sama ada anak guamnya akan dipanggil lagi selepas ini.
Farhana menggantikan tempat Puspawati dan Latheefa yang terpaksa bergegas pulang lewat petang tadi kerana mempunyai urusan lain.
Farhana juga memberitahu saksi utama kes - rakan Aminulrasyid - selesai memberi keterangan lebih awal. Beliau bagaimanapun tidak pasti masanya secara tepat.
Usaha Malaysiakini menghubungi keluarga rakan Aminulrasyid setakat ini belum berhasil.