Pengumuman pelbagai projek di Hulu Selangor bukan bertujuan membeli undi pada pilihan raya kecil itu semalam.
Sebaliknya, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pengumuman berkenaan adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat yang sudah lama hadapi mereka.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Barisan Nasional (BN) terbabit dengan perbuatan membeli undi untuk memenangi kerusi parlimen Hulu Selangor semalam.
"Kami tidak beli undi, tapi kami selesaikan masalah orang ramai. Ia adalah masalah sebenar yang tidak ditangani sejak sekian lama, ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk.
"Bukannya BN ke sana sini dan beritahu 'tengok sini, kami beri yang itu,kami beri yang ini', tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 di Putrajaya.
Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga penasihat Landskap Malaysia, bersama isterinya Tun Jeanne Abdullah yang merupakan pengerusi Landskap Malaysia.
Najib berkata demikian semasa mengulas dakwaan pembangkang kononnya BN membelanjakan RM167 juta bagi melaksanakan pelbagai projek untuk meraih undi di
Hulu Selangor.
Semalam P Kamalanathan dari BN menewaskan Datuk Zaid Ibrahim dari PKR dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi. Calon BN itu menerima 24,997 undi manakala Zaid memperolehi 23,272 undi.
Perdana Menteri memberi contoh projek pembinaan persimpangan bertingkat dekat Sungai Buaya, yang menurutnya bertujuan menangani masalah orang ramai di kawasan berkenaan.
"Ia dilaksanakan kerana orang ramai mahukan projek ini. Projek dilaksanakan oleh syarikat Plus (Plus Expressways Bhd), ia bukan wang awam. Persimpangan itu bertujuan membantu penduduk tempatan kerana ia akan dapat memendekkan tempoh perjalanan antara 60 dan 90 minit. Jadi apa yang dilakukan BN ialah menangani masalah tulen yang dihadapi penduduk, BN bukan beli undi," katanya.
Najib berkata beliau merasa gusar dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang berhubung perkara itu.
"Mereka perlu tanya diri sendiri, apa yang mereka lakukan dengan sumber kerajaan negeri. Tidakkah mereka yang luluskan entah pelbagai benda untuk orang ramai semasa pilihan raya?
"Mereka yang melakukannya, jadi jangan tunding jari kepada Barisan Nasional, tolong lihat diri sendiri," katanya.
Najib seterusnya menyuarakan rasa puas hati dengan keupayaan BN menawan kembali satu kerusi parlimen yang berada dalam sebuah negeri yang ditadbir pembangkang.
"Saya amat gembira dengan keputusan pilihan raya itu kerana ia menunjukkan bahawa kecenderungan kini nyata dilihat semakin beralih kepada BN. Ia kemenangan yang cukup manis kerana kami memenanginya selepas berjuang di sebuah negeri yang dikuasai pembangkang," katanya.
"BN kelihatan sedikit 'handicapped' jika dilihat dalam konteks ini. Bagaimanapun kemenangan yang diraih cukup manis kerana BN boleh bangun bersama dengan kemenangan ini, dan ia memberikan semangat baru serta harapan di masa hadapan," katanya.
Perdana Menteri berkata kemenangan BN di Hulu Selangor perlu menjadi satu kemenangan yang berkekalan.
"Ia perlu menjadi satu kemenangan yang berkekalan, dan ia akan dapat dipastikan dengan cara memahami apa yang perlu dilakukan untuk tempoh jangka masa panjang. Jadi ia tidak boleh berlingkar kepada satu kemenangan singkat, sebaliknya ia perlu dipupuk dan dikukuhkan dengan apa yang perlu dilakukan supaya Barisan Nasional turut menjadi parti untuk masa depan," katanya.
Najib berkata beliau percaya ujian sebenar bagi BN ialah pada pilihan raya umum akan datang.
"Ujian sebenar pastinya pilihan raya umum. Setakat ini daripada apa yang saya dengar, ia amat menggalakkan, ada sokongan dari orang ramai dan kami berharap untuk menunjukkan hasil yang baik, dan orang ramai juga pastinya mahukan hasil yang terbaik," katanya.
- Bernama