ahli parlimen Hulu Selangor yang baru, P Kamalanathan mengadu suaranya sudah "tak ada lagi" semasa keputusan rasmi pilihan raya kecil diumumkan malam ini.
Katanya, beliau berasa amat terharu atas kemenangan tersebut kerana pengundi Hulu Selangor memberi kepercayaan kepadanya.
Kamalanathan mendapat 24,997 undi, manakala calon PKR Datuk Zaid Ibrahim memperolehi 23,272 undi. Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.
"Saya sedar tanggungjawab ini mencerminkan BN akan berkhidmat kepada rakyat di sini," katanya dengan suara yang agak serak.
Selain memberi ucapan terima kasih kepada jentera dan pemimpin BN, beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada warga media yang membantu kempennya.
"Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan media, yang telah mengikut saya sejak mula penaman calon hingga hari ini.
"Tanpa bantuan media saya pasti tidak akan mencapai kemenangan sebegini," katanya.
Tambahnya, beliau akan memenuhi janjinya yang dibuat semasa kempen, termasuk berpindah ke Hulu Selangor.
"Saya dah katakan sekiranya ada peluang wakili mereka di Hulu Selangor, saya akan pindah ke Hulu Selangor. Saya akan uruskan secepat mungkin.
"Saya dalam masa secepat mungkin akan sekali lagi melawat semua pengundi, tidak kisah dia undi saya atau tidak," katanya lagi.
Ditanya mengenai rancangannya untuk memulihkan sokongan masyarakat Cina di Hulu Selangor, Kamalanathan berkata sasaran beliau bukan sahaja masyarakat Cina tetapi semua kaum.