Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Muda Keadilan (AMK)  menahan 10 buah bas yang disyakinya membawa pengundi hantu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) cawangan Peretak di Hulu Selangor awal pagi tadi.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin ketika dihubungi Malaysiakini, mendakwa anggotanya menahan bas tersebut yang membawa kira-kira 400 hingga 500 yang disyakinya pengundi hantu kira-kira jam 3.15 pagi tadi.

Susulan kejadian tersebut wakil AMK telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Ibu pejabat polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 3.45 pagi.

Laporan tersebut dibuat oleh penolong setiausaha AMK Selangor, Fazly Faizal.

Menurutnya, tidak lama selepas laporan polis itu dibuat, dua kereta peronda polis tiba bersama empat anggota.

Bagaimanapun Shamsul Iskandar mendakwa, anggota polis tersebut tidak dapat berbuat apa-apa dan menyatakan "mereka tidak masuk campur, kena tunggu pegawai penyiasat datang"

Bagaimanapun, Shamsul mendakwa tidak ada pegawai penyiasat yang datang.

Shamsul berkata, selepas itu beliau berunding dengan seorang penumpang bas tersebut yang memakai baju Pemuda BN.

Bagaimanapun, katanya, rundingan tersebut tidak berhasil.

Berikutan itu, Shamsul mendakwa, bas-bas berkenaan bertindak beredar dari situ.

Katanya, anggota AMK mengekori bas-bas tersebut sehingga sampai ke Rasa, Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

Menurut Shamsul lagi, pihaknya dapat mengesan bas-bas tersebut hasil risikan yang dijalankan AMK pada sekitar jam 2 pagi.

 

 

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS