PAS melahirkan kekesalannya berhubung tindakan kerajaan Malaysia yang didakwa mempromosikan Israel dan produk perdagangan mereka melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurut Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad, part itu mendapat maklumat dan beberapa bukti bergambar mengenai perpustakaan MITI yang menyediakan khas untuk bahan bacaan, majalah dan informasi perdagangan rejim Israel.
“Perpustakaan di tingkat 11 ini terbuka bukan sahaja kepada kakitangan tetapi kepada orang ramai terutamanya ahli perniagaan Malaysia untuk rujukan. Oleh itu tindakan MITI ini sekaligus dianggap sebagai satu usaha mempromosikan perdagangan dan industri Israel dalam negara,” katanya kepada Malaysiakini menerusi email.
Menurut Idris, antara yang boleh ditemui di perpustakaan berkenaan adalah majalah Israel-Asia Trade , Israel Review , buku Advantage Israel , Trade Policies Review (Israel) , Advance Technology From Israel , Opportunity Israel , The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.
“Ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang sebelum ini tidak mengiktiraf negara berkenaan.
“Malah dalam senarai garis panduan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada disebutkan bahawa sebarang iklan atau bahan dari negara Israel atau yang berkaitan adalah diharamkan di negara ini termasuk dalam bentuk majalah atau buku,” katanya.
Idris berkata pihaknya hairan, bagaimana buku dan majalah berkenaan boleh masuk ke negara ini sedangkan selama ini menteri yang bertanggngjawab mendakwa di Dewan Rakyat bahawa mereka langsung tidak ada hubungan dengan rejim Yahudi berkenaan.
“Berkali-kali ahli parlimen tanya tentang hubungan perdagangan Malaysia-Israel tetapi MITI menafikan di parlimen,” katanya lagi.
Rak Khas
Katanya, kehadiran rak khas untuk bahan-bahan dari Israel itu membongkar kesangsian rakyat selama ini terhadap dasar kerajaan yang pada tahun 1994 yang meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel.
“PAS juga difahamkan bahawa MITI secara rahsia sebenarnya membenarkan urusan import-eksport ke negara itu dan segala urusan hendaklah dibuat terus kepada Bahagian Kawalan Import Eksport yang mana setiap permohonan akan ditimbang oleh satu jawatankuasa khas,” ujarnya.
Menurut Idris, perkara berkenaan disahkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Israel dalam majalah Israel-Asia Trade terbitan bulan Mac 2006.
Menteri Yahudi itu juga dilaporkan begitu gembira dengan cadangan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menterinya , Datuk Seri Rafidah Aziz yang berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan rejim Israel.
“Nampaknya hingga ke hari ini Kerajaan Malaysia yang dipimpin BN masih lagi bermain kayu tiga dengan Israel di belakang rakyat.
“Jika Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini mengunakan Apco Worldwide untuk persediaan Pilihanraya ke-13.
“Dan Mukhriz pula diletakan di MITI sebagai timbalan menteri bagi melindungi rahsia kepimpinan ayahnya yang begitu banyak bergantung harap dengan kepakaran Israel.,” ujarnya.
Menurut Idris, PAS yakin, lebih banyak maklumat sulit mengenai hubungan perdagangan Malaysia-Israel serta lawatan sulit pemimpin negara disembunyikan oleh kerajaan.