Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 8.0 peratus pada 2010, disokong oleh pengukuhan keadaan domestik dan luaran, kata AmResearch Sdn Bhd.
"Kami kini mengunjurkan unjuran lebih tinggi pada 8.0 peratus tahun ini, yang paling kukuh sejak 1996, walaupun pakej rangsangan fiskal dan monetari akan ditarik balik secara beransur-ansur pada akhir tahun," kata agensi penyelidikan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Angka AmResearch itu lebih tinggi berbanding unjuran data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia pada 4.5-5.5 peratus dan Bank Dunia pada 5.7 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mempunyai unjuran yang lebih optimistik, tidak kurang daripada 6.0 peratus tahun ini.
"Ia dijangka pemulihan menyeluruh dengan semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif di tengah-tengah pengukuhan permintaan domestik dan peningkatan permintaan luar," kata syarikat penyelidikan itu.
Bagi suku pertama 2010, AmResearch mengunjurkan ekonomi berkembang pada kadar yang lebih pantas 9.8 peratus, tertinggi dalam tempoh 10 tahun lalu, dengan perbelanjaan sektor swasta oleh isi rumah serta eksport menerajui peningkatan.
Prestasi eksport negara mendapat faedah daripada penambahbaikan permintaan luar, terutamanya dari ekonomi-ekonomi serantau dan harga komoditi yang kukuh.
Bagaimanapun, dengan prospek peningkatan global yang mengecewakan yang masih lagi samar-samar, AmResearch mengekalkan unjuran KDNK sebenar 6.0 peratus pada
2011.
Ia berkata ini banyak bergantung kepada jenis pembaharuan semula yang dalam perancangan serta komitmen kerajaan bagi menjadikannya satu realiti.
Sejak tahun lalu, beberapa langkah liberalisasi telah diperkenalkan bagi meningkatkan pelaburan langsung asing dalam perkhidmatan kewangan dan di sektor-sektor peringkat ketiga lain.
Satu inisiatif baharu yang dikenali sebagai Program Transformasi Kerajaan (GTP) juga telah dimulakan bagi menangani masalah pembaziran dan gejala rasuah dalam sektor awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek baharu.
Malaysia juga akan memulakan bahagian kedua dan akhir Dasar Ekonomi Baru pada suku ketiga tahun ini, dengan memperincikan pembaharuan struktur dan ini sepatutnya dapat meningkatkan lagi potensi negara menjadikannya malahan lebih kukuh.
AmResearch berkata pemacu pertumbuhan utama pada 2010 adalah sektor pembuatan yang dijangka berkembang sebanyak 12.3 peratus, diterajui oleh sektor elektrik dan elektronik yang mewakili lebih sembilan peratus daripada KDNK.
Sektor perkhidmatan juga diunjur berkembang pada 7.1 peratus dan menyumbang sekurang-kurangnya 4.1 mata peratusan kepada KDNK, disumbang daripada permintaan kukuh pasaran kewangan, keadaan pekerjaan yang stabil dan peningkatan tahap pendapatan.
AmReseach berkata penggunaan swasta juga dijangka meningkat berikutan sokongan daripada penambahbaikan pasaran buruh, pendapatan boleh guna dan keyakinan pengguna.
"Kami mengunjurkan pertumbuhan 4.5 peratus tahun ini berbanding 0.8 peratus pada 2009," kata agensi itu.
Sementara itu, eksport dan import dijangka mencatatkan pertumbuhan dua angka masing-masing pada 15 peratus dan 16 peratus tahun ini bagi lebihan akaun semasa yang tinggi sebanyak RM125 bilion atau 20 peratus daripada KDNK.
Inflasi dijangka meningkat 2.5 peratus sejajar dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik dan kemungkinan pelarasan harga.
"Memandangkan andaian momentum ekonomi yang kukuh dan kadar inflasi tinggi, kami mengandaikan sasaran akhir tahun bagi kadar dasar semalaman berada pada tiga peratus sekarang.
"Ini masih di bawah paras neutral dan tidak akan menghalang proses pemulihan.
"Sehubungan ini, kami menjangka ringgit berada pada RM3.10 bagi satu dolar AS pada akhir tahun, bergerak ke arah nilai adil baharu kerana indeks wajaran perdagangan juga merupakan fungsi KDNK dan OPR," kata agensi itu.
- Bernama