Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz dilarang berceramah di masjid Hulu S'gor
Diterbitkan:  Apr 23, 2010 2:19 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilarang menyampaikan ceramah atau kuliah Maghrib di mana-mana masjid dan surau di Hulu Selangor.

Peng NONE arah JAIS, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, arahan itu bukan ditujukan kepada menteri besar Kelantan sahaja tetapi mencakupi semua pihak.

Katanya, larangan itu sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang pengunaan masjid oleh individu-individu berkepentingan politik menggunakan institusi umat Islam itu untuk tujuan berkenaan.

NONE Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini memetik Sultan Sharafuddin ( kanan, bertali leher belang ) menitahkan polis supaya bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor yang sedang berlangsung sekarang.

Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, larangan itu termasuk ceramah politik, penganjuran sebarang perhimpunan atau demonstrasi.

NONE Katanya, pihak polis akan meningkatkan kawalan di semua masjid bagi membendung perkara tersebut daripada berlaku.

Sehubungan dengan larangan itu juga beberapa jadual Mursidul Am PAS hari ini di beberapa masjid di Hulu Selangor terpaksa disusun semula.

Antaranya, Nik Aziz akan berkempen di Assam Kumbang sebelum ke Rasa (9.30pm) dan Batang Kali (10.30pm).

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Sultan Sharafuddin hari ini mengulangi titah baginda supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan tempat untuk mengadakan demonstrasi negatif.

NONE Baginda bertitah masjid dan surau adalah tempat untuk umat Islam dan orang Melayu bersatu padu, bermuafakat serta mengeratkan silaturrahim sesama umat, dan bukannya tempat untuk berpolitik.

"Beta tidak berkenan masjid dan surau dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan mengadakan demonstrasi yang negatif baik di perkarangan mahupun di dalam masjid," titah baginda pada majlis perasmian Masjid Taman Cheras Jaya di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sultan Sharafuddin bertitah, masjid adalah tempat paling sesuai untuk umat Islam menginsafi diri dan mensucikan hati supaya dapat menghilangkan perasaan hasad dengki dan juga mengetepikan perasaan membenci antara satu sama lain.

"Di dalam masjidlah tempat yang sepatutnya diberi penerangan tentang pentingnya hubungan baik dan muhibbah di antara masyarakat tanpa mengira kaum, fahaman politik dan latar belakang agama," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan setiap pegawai dan anggota jawatankuasa masjid supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama negeri sebelum menjemput penceramah agama bagi memastikan mereka memiliki tauliah.

"Hanya mereka yang mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sahaja yang dibenarkan untuk berceramah, berkuliah, berkhutbah dan mengajar di masjid dan surau," titah baginda.

Masjid Taman Cheras Jaya dibina pada 12 Disember 2004 di atas sebidang tanah berkeluasan 2.62 ekar dengan kos bernilai RM5.3 juta bagi menggantikan Madrasah Manbaeil Uloom yang dibina pada 1987.

Masjid yang siap sepenuhnya pada 24 Ogos 2006 itu mampu menampung 2,500 jemaah pada satu masa bagi memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar Taman Cheras Jaya dan kawasan perindustrian berhampiran. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS