Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad muncul di gelanggang Hulu Selangor malam tadi sebagai jurucakap bagi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bagi memulihkan  sokongan masyarakat Cina dalam kawasan plihan raya kecil ini.

NONE Beliau dilihat mengambil pendekatan tersebut bagi menangkis pandangan masyarakat Cina yang dilihat terhakis akibat pendirian pro-Melayu yang diambil PERKASA.

Sebelum ini, risalah anti-PERKASA dikesan di kawasan tersebut. Helaian risalah bersaiz A3 setebal lapan halaman itu secara umumnya kelihatan sebagai bahan kempen pro-BN dan antara lainnya mengandungi satu karikatur yang mencemuh hala tuju PERKASA.

Ia turut mengandungi satu rencana pendek mengenai PERKASA, yang menyebut antara lainnya, pertubuhan itu telah menyimpang daripada gagasan 1Malaysia yang didokong oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun  Razak.

Dalam meredakan keresahan tersebut, Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno menggunakan peluang hampir satu jam di majlis berkenaan untuk berucap dan turut mengadakan satu sidang akhbar.

Mahathir dalam ucapannya menangkis tanggapan bahawa beliau merupakan seorang yang 'rasis' sedangkan golongan peniaga dalam masyarakat Cina mendapat keuntungan daripada pendekatan yang diambilnya dalam menghadapi kegawatan akibat krisis matawang Asia pada 1997.

NONE Jelasnya, golongan peniaga daripada masyarakat berkenaan terselamat daripada mengalami kebankrapan, kesan daripada kegiatan "penyangak matawang dunia."

"Sebab itu pada 1999, banyak penyokong yang undi BN adalah orang Cina," katanya.

Jelasnya, penyokong Melayu pada masa itu ramai memberikan undi protes kepadanya akibat pemecatan Datuk Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Beliau kemudiannya menukar rentak dengan nada berjenaka untuk 'membersihkan' nama PERKASA.

"(Ibrahim) pelik, sebab seingat saya dia sudah dua kali ditahan ISA tapi dia masih jadi penyokong saya.

"Ibrahim sememangnya nampak garang ketika berucap, sebab itu saya hadir di situ untuk redakan keadaan," katanya menjelaskan kemunculannya di majlis perasmian mesyuarat agung pertama PERKASA pada hujung bulan lalu di Kuala Lumpur.

Dalam sidang media selepas itu, beliau menjelaskan bahawa PERKASA merupakan pertubuhan yang berpengaruh dan mempunyai "peranan tertentu" yang tidak boleh diketepikan.

"Kita harus tahu mereka dan apa masalah mereka supaya kita dapat betulkan masalah ini jadi kita akan dapat sokongan mereka.

"Dalam pilihan raya, kita kena cari seberapa banyak penyokong yang mungkin. Kalau kita tolak orang ini kita tak suka, orang itu kita tak suka, akhirnya kita tidak jumpa siapa pun yang suka (untuk) undi kita," katanya.

Ditanya mengenai faktor sokongan masyarakat Cina yang kurang memihak kepada BN dalam pilihan raya sebelum ini, Mahathir berkata, mereka mungkin masih mempunyai masalah tertentu yang perlu diselesaikan

"Mungkin mereka ada perasaan tidak puas hati tetapi kita boleh selidik dan kita akan cari jalan supaya dapat selesaikan masalah mereka. Dulu pun mereka ada masalah juga selepas tahun 1969 umpamanya.

"Tetapi dengan cara rundingan, kita boleh betulkan hubungan antara kita. Nak tak nak pun, orang Cina duduk di Malaysia. Dia kena kerjasama juga dengan orang Melayu. Kalau dia berkelahi dengan orang Melayu pun susah jugak. 

"Kita kena tahu juga apa dia masalah orang Melayu, barulah kita boleh bagi pertimbangan.  

"Kita hendak negara kita ini aman, jadi kita kena ambil masalah kedua-dua belah. Kalau kita cuma ambil masalah orang Cina saja, nampak dia orang saja betul," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau berpendapat BN mampu meraih kemenangan di Hulu Selangor kerana orang Umno didakwa sudahpun beralih kepada BN

NONE "Menang besar tak besar saya tak tahulah tapi saya ingat BN boleh menang lah. Yang kalah itupun orang Umno yang kecewa pada masa itu, tapi sekarang ini orang Umno tak kecewa dah. Dia dah balik sokong BN," katanya.

Calon BN P Kamalanathan turut hadir dalam majlis tersebut, selain kira-kira 600 orang yang hadir untuk mendengar ucapan Mahathir.

Kamalanathan juga turut memberikan ucapan ringkas di majlis tersebut sebelum bergegas ke sebuah program lain.

"Saya berharap akan bekerja dengan bersih, cekap dan amanah," katanya, yang cuba meraih 'keberkatan' daripada kehadiran Mahathir ke majlis itu dengan mengulangi slogan yang dipelopori bekas perdana menteri itu sebelum ini.

ADS