Ketua Angkatan Muda Keadilan [AMK] Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Ahmad mengumukan keluar PKR hari ini dan menyertai Umno.
Turut berbuat demikian ialah setiausaha AMK Kelantan, Muhammad Ezri Zainal Abidin.
Mereka mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar hari ini.
Wan Khairul berkata, mereka bertindak demikian kerana sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Sementara itu, dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini , Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan tindakan Wan Khairul Ihsan dan Ezri hari ini.
"Dalam masa dua tahun ini, sudah hampir sepuluh kali pilihan raya kecil diadakan. Skripnya sentiasa sama, lompat parti, pendedahan (bekas ketua AMK) Ezam Mohamad Noor.
"Perkara ini sudah nampak macam satu corak, satu polar. Ia tiada lagi memberikan kesan (kepada pengundi) sekarang," katanya yang mengakui telah mendengar desas-desus itu sejak tiga hari lalu.
Khairul Anuar ( kiri ) turut mempersoalkan kewajaran tindakan kedua-dua bekas pemimpin AMK tersebut yang didakwanya dibuat dengan "sanggup menidakkan kerakusan Umno dan BN".
"Kepada mereka, pertama, selamat maju jaya. Kedua, mudah-mudahan mereka dapat membetulkan Umno.
"Ketiga, mudah-mudahan mereka dapat membela nasib rakyat bersama Umno," katanya sinis.
Sementara itu, menurut The Star, pengerusi jawatankuasa daerah pengundian PKR Hulu Selangor Mohd Salleh Mat Noor, ketua Pemuda Hanif Sairan dan 200 ahli turut keluar parti.
Manakala bekas timbalan ketua PKR Perlis, Keria Senawi dan tiga ahli jawatankuasa cawangan, turut keluar parti, atas alasan mereka tidak lagi yakin dengan perjuangan
PKR.