Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin veteran lain dijangka akan memanaskan lagi kempen pilihan raya Hulu Selangor yang berakhir tiga hari lagi.
Mahathir pada 16 April lalu, selepas menyampaikan ucaptama ulang tahun ke-44 konvensyen Mara di Kuala Lumpur berkata beliau tidak mempunyai kepentingan bagi membabitkan dirinya dalam pilihan raya itu.
"Saya tidak akan berkempen. Jika ada yang ingin menggunakan nama saya untuk berkempen, itu masalah mereka...Saya tak peduli,” katanya seperti yang dilaporkan.
Namun hari ini, beliau mengubah pendirian dan akan menyampaikan sebuah ucapan di Serendah pada jam 8 malam.
Ini adalah kempen pertamanya sejak pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Pada kedua-dua pilihan raya itu BN tewas.
Mahathir adalah bekas perdana menteri pertama yang menyertai kempen pilihan raya BN. Sebelum ini, Tunku Abdul Rahman pernah berkempen untuk parti Semangat 46 pada sekitar 1990.
Pada pilihan raya Ahad ini, calon BN P Kamalanathan akan berdepan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.