Sambil memegang slip gaji di tangan kanan dan pisau di tangan kirinya, S Letchumi merintih tentang kesusahan nasibnya sebagai pekerja estet selama 25 tahun.
Sambil menunjukkan slip gaji bertulis RM217, beliau menceritaan saat-saat menyeksakan dengan tiga anak yang masih di bangku sekolah dan anak kecil yang kurang pemakanan.
"Kami sudah lama menyokong Barisan (BN). Setiap kali datang mereka suruh kami undi mereka, mereka janji untuk bantu kami.
"Tetapi selepas menang, muka pun tidak nampak sehinggalah mereka perlukan undi kami lagi," katanya ketika ditemui Malaysiakini .
Letchumi, 42, dan sekumpulan wanita di Ladang Kerling ketika ditemui bersedia untuk memasak makanan yang dibawa oleh Puteri Umno untuk perjumpaan yang dijadualkan di kuil mereka pada Isnin.
Sementara itu, Mariamah Subramaniam, 39, ibu tunggal dengan empat anak berkata, pekerja tidak kisah tentang "hadiah" daripada parti politik - yang biasa diberikan ketika musim pilihan raya - tetapi mereka mengharapkan penyelesaian yang lebih konkrit bagi masalah kemiskinan yang membelenggu.
"Baguslah. PKR berikan kami beras dan sedikit wang untuk tambang bas sekolah anak-anak, tetapi mereka tidak boleh hanya memberinya pada tahun ini dan berhenti selepas ini.
"Sudah tentu lebih baik daripada tiada langsung... BN tidak beri apa pun bila mereka datang," katanya sambil mendukung anak perempuan berusia 9 bulan di pinggangnya.