Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat pendedahan mantan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa terdapat seorang tokoh agama yang mengadakan 'upacara' orang ramai menelan air ludahnya untuk mendapatkan keberkatan.
Pegawai Perhubungan Awam, JAIS Nurhamizah Othman berkata ini adalah pertama kali pihaknya mendengar dakwaan tersebut.
"Kita hendak dapat maklumat lanjut daripada Dr Mohd Asri. Jabatan Akidah JAIS sebelum ini tidak ada (menerima) laporan mengenai upacara telan air ludah ini.
"Kalau beliau ada maklumat lanjut, sila tampil ke hadapan untuk memudahkan JAIS membuat siasatan sama benar ataupun tidak," katanya mengulas pendedahan Dr Mohd Asri mengenai perkara itu dalam kolumnnya dalam Malaysiakini hari ini yang bertajuk 'telan air ludah ustaz'.
Dalam kolumnya itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut mendakwa "upacara itu pula dibuat di masjid" dan tokoh agama berkenaan "ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan.
"Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu 'menikmati' seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau!" tulis Dr Asri dalam kolumnya itu.
Mengulas lanjut, Nurhamizah menggesa orang ramai mengetahui mengenai perkara itu agar segera tampil memberi maklumat lanjut kepada JAIS, termasuk siapa tokoh agama terbabit dan di mana ucapacara itu berlangsung.
Nurhamizah berkata, pihaknya memerlukan maklumat tersebut, seperti nama masjid dan tempat upacara itu berlangsung akan memudahkan siasatan dijalankan.
Menurutnya lagi, susulan pendedahan Dr Mohd Asri itu, JAIS telah membuka fail dan telah memulakan siasatan berhubung perkara itu.
Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika dihubungi Malaysiakini petang ini enggan mendedahkan tokoh agama yang didakwa mengadakan 'upacara' menelan air ludahnya'
Sebaliknya, mantan mufti Perlis itu berkata, beliau akan meminta orang ramai yang menghadiri upacara tersebut agar melaporkan kepada JAIS.
Ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan JAIS, Dr Asri berkata: "Nanti dahulu, tengok perkembangan siasatan".