Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Awang Selamat: Perwakilan MCA silap pilih Chua
Diterbitkan:  Apr 11, 2010 1:39 PM
Dikemaskini: Apr 12, 2010 1:42 AM

Kolumnis kontroversi Mingguan Malaysia , Awang Selamat secara terbuka menegaskan bahawa perwakilan MCA telah melakukan kesilapan dengan memilihkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai presiden parti itu.

NONE "Apa yang berlaku seolah-olah MCA ketandusan pemimpin dan tidak berani menyandar harapan kepada pemimpin pelapis," tulis Awang dalam kolum mingguannya.

Awang mendakwa perwakilan parti itu - yang merupakan komponen BN - gagal membawa aspirasi masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin yang terbaik dalam semua aspek terutama akhlak.

"Soi Lek sepatutnya besar dan tidak semestinya bertanding hanya kerana ada sokongan daripada ahli MCA.

"Skandal tersebut adalah sesuatu yang serius. Pemimpin harus bersih atau setidak-tidaknya kelihatan bersih," tambahnya.

Dalam pemilihan MCA baru-baru ini, Chua terpilih sebagai presiden baru MCA dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Ong Tee Keat dan seorang lagi pencabar, Tan Sri Ong Ka Ting.

Awang menyifatkan tindakan Chua untuk bertanding jawatan lebih tinggi sampai ke puncak, hanya menampakkan beliau pentingkan diri.

"Awang  bukan berniat mencampuri urusan MCA tetapi isu moral tidak boleh diambil ringan.

"Jika pemimpin BN mempersoalkan moral pemimpin utama pembangkang, mengapa pula MCA boleh berkompromi dalam hal tersebut," tambahnya.

Namun begitu, kata Awang, beliau secara peribadi tetap menghargai keberanian Chua kerana membuat pengakuan terlibat dalam skandal seks.

women leader forum scah 240408 chew mei fun

Sehubungan itu, beliau memuji langkah Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang melepaskan jawatannya dalam parti dan kerajaan atas prinsip tidak dapat menerima Chua sebagai peneraju parti itu berikutan skandal DVD seks.

"Awang angkat topi kepada Mei Fun. Beliau berpegang kepada prinsip," tulis Awang lagi.

Bila lagi Samy mahu berundur?

Dalam tulisannya minggu ini, Awang turut mengulas tentang pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

"Awang masih yakin BN boleh menang asalkan mengambil strategi yang betul terutama soal calon.

"Pilihlah calon terbaik. Seboleh-bolehnya pemimpin setempat, muka baru dan mempunyai imej yang baik," tulis awang sambil menambah penentuan calon amat penting apatah lagi MIC berdepan dengan banyak isu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa MIC kekal bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, tetapi tidak menamakan calonnya.

MIC telah mengemukakan nama timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk sekali lagi bertanding di situ. Dalam pilihan raya umum 2008, Palanivel tewas kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin yang meninggal dunia baru-baru ini kerana barah otak.

Umno bahagian yang sebelum ini mendesak supaya calonnya dipilih bertanding di situ, kemudiannya akur dengan keputusan Najib tetapi menegaskan mereka tidak mahu Palanivel dicalonkan semula.

samy vellu cooperative interview 060709 05 Awang menulis bahawa pemulihan sokongan masyarakat India belum meyakinkan, yang menurutnya, ada kaitan juga dengan faktor presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Bila lagi beliau mahu berundur? Walaupun Samy Vellu pernah membayangkan sudah mempunyai pelan peralihan tetapi semuanya masih kabur, seolah-olah beliau mahu terus memimpin MIC sehingga pilihan raya umum depan.

"Pada Awang, isu Samy Vellu lebih menarik daripada pilih raya kecil. Jika beliau mahu membantu kejayaan BN pada pilihan raya itu nanti, maka lebih elok jika beliau mengumumkan pelan peralihan dalam masa terdekat.

"Jika Samy Vellu sayangkan MIC dan BN, beliau perlu berundur. Usahlah berdolak-dalik lagi dengan pelbagai alasan," tulis Awang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS