Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim disebut-sebut besar kemungkinan dipilih untuk mewakili PKR bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Perkara itu kini menjadi perbualan di kalangan pemimpin dan para penyokong PKR di cabang Selangor sejak beberapa hari lalu.

zaid ibrahim

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan PKR cabang itu, pemilihan Zaid itu dibuat berdasarkan andaian beliau lebih berpeluang menang.

Katanya, ia berdasarkan pengalaman Zaid, seorang peguam dan pernah dilantik sebagai menteri kabinet sebelum ini.

Sumber-sumber itu juga berkata, pemilihan Zaid juga dibuat atas andaian bahawa BN berkemungkinan besar mengekalkan Datuk G Palanivel bertanding di situ.

" Heavyweight kena lawan dengan heavyweight ...," kata sumber-sumber itu.

Katanya, walaupun terdapat andaian bahawa MIC sekarang ini hanya parti kecil dalam BN, tetapi parti India itu didakwa mempunyai sumber kewangan yang kukuh bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 25 April ini.

Sumber-sumber menambah, walaupun 'pemilihan' Zaid telah dibuat, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menukar pandangannya di saat-saat akhir.

azlan Bagaimanapun, buat masa ini, difahamkan jentera parti di pelbagai peringkat juga telah sedia maklum tentang perkara tersebut.

Zaid juga difahamkan berhadapan dengan saingan sengit daripada bendahari PKR Cabang Hulu Selangor Dr Halili Rahmat - sahabat lama Awar dan pakar bedah saraf.

Sebelum ini, PKR dilaporkan mempertimbangkan 12 nama untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini. Daripada jumlah itu, lima orang telah disenarai pendek.

Selain Zaid, mereka ialah naib ketua Razali Mokhtar,  bendahari cabang Dr Halili Rahmat, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud, dan aktivis peguam N Surendran.

Di pihak BN pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilaporkan memberikan laluan kepada MIC di kawasan tersebut, walaupun tidak dipersetujui ahli akar umbi Umno di Hulu Selangor.

Bagaimanapun, nasib Palanivel dilihat masih juga menjadi tanda-tanya walaupun hanya satu-satu nama yang dicadangkan MIC kepada Najib.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi parlimen tersebut akan diadakan pada 17 April ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS