Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Minum arak: Tukang masak dipenjara dan sebat
Diterbitkan:  Apr 7, 2010 5:12 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan enam sebatan ke atas seorang tukang masak Maahad Tahfiz, Kuantan yang mengaku bersalah meminum arak.

Mohd Sabri Zulkepli, 24, mengaku bersalah meminum arak di kompleks beli belah Kuantan Parade pada 13 Februari lalu, jam 5.30 petang dan didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1987.

Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Md Yunos, ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, hukuman penjara dan sebatan itu adalah sebagai pengajaran supaya tertuduh dapat menginsafi diri daripada perbuatan itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu memohon supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan pendapatannya sebagai tukang masak hanyalah RM550 sebulan.

Tertuduh yang belum berkahwin, sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 18 Februari lalu ketika mula didakwa, sebelum menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Mac dan mengekalkan pengakuan bersalah pada 24 Mac lalu.

Hakim menetapkan hukuman penjara itu berkuatkuasa bermula daripada tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 13 Februari lalu.

"Hukuman sebat akan dilaksanakan ketika tertuduh menjalani hukuman penjara itu," kata Abdul Rahman.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syarie Farhana Md Yusuf.

- Bernama

ADS