Editor kanan Utusan Malaysia , Zaini Hassan hari ini 'menyerang' portal berita Malaysiakini dengan menyifatkan editornya sebagai "orang media yang kecewa".
"Bermula mereka, bermulalah masalah segalanya," katanya ketika menjelaskan sejarah media baru Malaysia, di konvensyen BN Selangor, di Shah Alam.
Diberikan tajuk 'Sindrom media baru dan pengundi muda', timbalan ketua pengarang 1 Utusan itu turut mempersoalkan siapa di belakang portal berita tersebut.
"Mereka menjadi popular. Siapa di belakang (mereka)?" soalnya Zaini yang popular dengan kolum 'Cuit' di Utusan Malaysia .
Beliau bagaimanapun hanya mengulas sepintas lalu dan tidak menjelaskan secara terperinci dakwaannya itu.
Kontroversi Azan
Zaini sebelum ini terbabit dalam kontroversi yang membawa kepada ahli exco kerajaan Selangor, Teresa Kok ditahan selama seminggu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008.
Kok kemudiannya memfailkan saman fitnah RM30 juta terhadap Zaini dan Utusan kerana mendakwa beliau difitnah dalam sebuah artikel yang disiarkan pada 10 September 2008.
Kontroversi itu dicetuskan oleh Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menuduh Kok menuntut supaya laungan azan melalui pembesar suara di dua buah masjid - di Puchong dan Kota Damansara - direndahkan.
Perkara itu kemudiannya dibangkitkan oleh Zaini dalam kolum mingguannya 'Cuit' tetapi Kok dan kedua-dua masjid tersebut menafikan perkara itu.
Sementara itu, di konvensyen BN hari ini, Zaini mengulas perkembangan media baru di Malaysia sejak 1995 sehingga kemunculan Malaysiakini selepas krisis ekonomi dan politik pada 1997 dan 1998.
Zaini menjelaskan, selepas krisis tersebut - antaranya melibatkan demonstrasi besar menentang pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri - media alternatif menyiarkan pandangan yang kritikal dan analatikal.
Ekoran itu, tambahnya, edaran akhbar aliran itu, seperti organ rasmi PAS Harakah melonjak kepada 300,000 naskhah pada tahun 2,000.
Pada masa yang sama akhbar arus perdana pula mengalami kemerosotan, katanya lagi.
Bercakap di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan dalam konvensyen tesebut, Zaini juga mendakwa internet sarat dengan pembohongan dan fitnah serta meniup sentimen perkauman.
Memandangkan semakin ramai pengundi muda yang gemarkan media baru dan mempercayai maklumat di Internet, maka Zaini menggesa BN supaya menggunakan khidmat penulis blog yang mesra BN untuk menyebarkan maklumat yang pro-BN.
Katanya, BN mesti juga berusaha memikat bekas musuh mereka supaya menjadi penulis maya bagi mempertahankan gabungan parti pemerintah itu.
"Lahirkanlah bekas musuh (mereka) sebagai penulis maya BN seperti blog anti-pkr.blogspot.com," kata Zaini.