Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Karpal diarah keluar Dewan, gantung 10 hari
Diterbitkan:  Apr 7, 2010 12:17 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Karpal Singh (DAP-Gelugor) hari ini digantung daripada Dewan Rakyat selama 10 hari berikutan tindakannya menyalahkan speaker yang didakwanya tidak mengikut keputusan yang dibuat sebelum ini.

Drama bermula apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangun untuk meminta penjelasan daripada speaker berhubung notisnya untuk merujuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

NONE Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau memutuskan untuk menolak notis berkenaan, yang mengundang Tian untuk bangun dan terus meminta penjelasan.

Pandikar kemudiannya mengarahkan Tian supaya duduk, namun Karpal pula menghidupkan mikrofonnya dan berkata speaker telah melanggar keputusan yang pernah dibuatnya sendiri sebelum ini.

Karpal mengulangi kata-katanya itu sebanyak enam kali dan juga menggelarkan speaker dengan sebagai 'diktator'.

Pandikar memintanya mengulangi gelaran itu yang dipatuhi Karpal.

Tindakan itu membawa padah apabila Pandikar mengarahkannya keluar dewan.

NONE "Saya menggunakan kuasa menurut Peraturan 44(2). Bentara, tolong keluarkan Bukit Gelugor," kata speaker ketika mengarahkan bentara menolak kerusi roda Karpal keluar dari Dewan.

Pandikar juga memutuskan Karpal digantung daripada parlimen bagi tempoh 10 hari.

Tindakan itu kemudiannya menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kemudiannya bangkit dan berkata keputusan speaker itu tidak adil.

Pandikar kemudiannya berkata, beliau akan berlaku adil dan memutuskan untuk membuka undian secara belah bahagi ke atas usul yang dibawa oleh Tian.

Usul itu bagaimanapun ditolak apabila hanya 56 ahli parlimen menyokong usul berkenaan, berbanding 82 yang menentang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS