Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memerangi rasuah dan memudahkan pendedahan kegiatan itu.

NONE Dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, rang  berkenaan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat  supaya tidak mendedahkan maklumat sulit dalam mana-mana prosiding mahkamah.

Maklumat itu meliputi mana-mana buku, dokumen atau kertas  catatan yang menamakan pemberi maklumat berkenaan.

"Segala petikan sedemikian (hendaklah) disembunyikan daripada pandangan atau dipadamkan setakat yang perlu untuk melindungi pemberi maklumat itu daripada diketahui, tetapi tidak lebih daripada itu," rang tersebut dipetik.

Perlindungan itu, yang terkandung dalam Bahagian III dalam fasal berkenaan, juga memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada tindakan sivil.

"Tertakluk kepada subseksyen 11(1), seseorang pemberi maklumat tidak tertakluk kepada apa-apa liabiliti sivil atau jenayah atau apa-apa liabilit yang berbangkit melalui proses pentadbiran," menurut rang undang-undang itu lagi.

Ini termasuklah tindakan tatatertib, tiada tindakan ( no further  action ), tuntutan mahupun desakan.

Pemberi maklumat berkenaan boleh membuat aduan kepada  mana-mana agensi penguatkuasaan sekiranya dikenakan apa-apa "tindakan yang memudaratkan."

Tindakan memudaratkan itu digariskan sebagai ancaman untuk  mengambil tindakan, mengapi-apikan mahupun membenarkan  pihak lain mengancam atau mengambil tindakan.

Selain itu, undang-undang itu juga melindungi mata pencarian  seseorang pemberi maklumat, sama ada seorang penjawat awam  mahupun pekerja swasta sekiranya mereka membuat sesuatu  pendedahan.

Pelanggaran kepada peruntukan undang-undang itu diperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 15 tahun, atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, agensi penguatkuasaan diberi kuasa untuk  membatalkan perlindungan kepada pemberi maklumat berkenaan  sekiranya pemberi maklumat itu sendiri terlibat dalam kelakuan  yang didedahkannya itu.

Status perlindungan itu juga terbatal sekiranya pemberi maklumat berkenaan sengaja membuat pendedahan palsu.

Selain itu, ia perlindungan itu juga terbatal sekiranya  pendedahan itu dianggap "remeh dan menyusahkan" dan sekiranya pendedahan itu mempersoalkan merit dasar kerajaan.

Pendedahan yang sengaja dibuat untuk menyelamatkan diri daripada dibuang kerja atau dikenakan tindakan tatatertib lain, juga tidak dilindungi.

Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan agensi  penguatkuasaan dalam kes tersebut bagaimanapun bebas untuk  merujuk keputusan berkenaan ke mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS