Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun berat hati, ahli akar umbi Umno bersetuju untuk  mempertimbangkan supaya MIC dibenarkan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, tetapi mereka menolak timbalan presidennya Datuk G Palanivel.

Seorang pemimpin Umno cawangan di parlimen tersebut berkata, Palanivel ditolak ekoran "tidak menunaikan janji dan (rakyat) sudah hilang kepercayaan kepadanya".

NONE "Bagi saya ia (perebutan kerusi) bukan masalah kuota, tetapi masalah calon. Banyak janji-janji (pilihan raya), beliau tidak tunaikan.

"Selama empat penggal beliau bertanding, kenapa dia kalah (pada 2008)? Ini kerana undi protes.

"Sekurang-kurangnya, kalau (letak) calon dari MIC, carikan orang lain. Kalau MIC letak Datuk G Palanivel, berat sedikit nak menang. Orang sudah hilang kepercayaan kepadanya," kata seorang lagi pemimpin Umno daripada DUN Batang Kali.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, pemimpin berkenaan  berkata, sekiranya BN tetap mahu memilih calon daripada MIC, mereka mesti mengenetepikan Palanivel.

"Selain Palanivel, masih ada harapan," kata seorang pemimpin Umno cawangan di DUN Batang Kali.

Manakala seorang lagi pemimpin akar Umbi Umno daripada DUN yang sama memberitahu, bantahan terhadap Palanivel turut disuarakan semua 130 pemimpin kanan cawangan kepada ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pada pagi Ahad lalu.

Sementera di sebelah malamnya, difahamkan, Ahmad turut mengadakan pertemuan dengan kira-kira 70 pemimpin Pemuda dalam DUN Batang Kali dan mendapat reaksi lebih "serius dan keras".

Sumber-sumber bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut sajauh mana kerasnya desakan itu atau mendedahkan butiran lanjut mesyuarat.

azlan Menurut sumber lagi, tuntutan merekaturut mengambil kira suara pengundi Cina yang mahukan pucuk pimpinan parti menyerahkan semula kerusi tersebut kepada Umno.

"Kita bantah seratus peratus. (Palanivel) banyak berjanji, tapi tak banyak ditunaikan," katanya senada dengan pemimpin akar umbi yang lain.

Ditanya apakah janji-janji Palanivel yang tidak ditunaikan, sumber tidak tidak menjawab secara langsung, tetapi menjawab sinis:

"Minta bola sepuluh biji, yang sampai hanya sebiji."

Malah, pemimpin tersebut bukan sahaja menolak Palanivel, tetapi masih berkeras mahukan Umno bertanding di kerusi parlimen itu.

Sumber menambah, sejak 2008 lagi, kira-kira 90 peratus cawangan telah menolak MIC bertanding lagi di kawasan parlimen tersebut.

Sementara seorang lagi pemimpin Umno cawangan mendakwa Palanivel tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan tidak mempunyai "sentuhan langsung" dengan rakyat.

Pada pilihan raya umum yang lalu, calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengalahkan Palanivel yang mewakili BN dengan hanya kelebihan 198 undi.

Bagaimanapun jumlah undi rosak yang dicatatkan adalah 1466 iaitu tujuh kali ganda daripada majoriti Zainal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS