Timbalan Pengerusi Barisan Nasional(BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemungkinan besar calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor adalah dari MIC.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN sejak dari dahulu lagi mempunyai fomula tersendiri dalam menentukan calon dan perkara yang penting ialah sentiasa ada permuafakatan antara Umno dan parti-parti komponen lain di dalam BN.
"Kemungkinan besar akan diberikan kepada MIC. Kawasan kerusi MIC akan diambil kira dahulu. Tetapi keputusannya bergantung kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat dan pemberian pertama wang ihsan yang dihadiri 5,000 pengunjung, di Machang hari ini.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sebelum ini mencadangkan supaya Timbalannya Datuk G Palanivel mewakili BN untuk bertanding sekali lagi bagi kerusi itu.
Palanivel adalah Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum kalah pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.
Muhyiddin berkata BN juga akan mengambil kira sentimen rakyat terhadap siapakah calon yang akan dipilih dan pihaknya tidak mengetepikan pandangan mereka.
Baginya pertindihan calon adalah lumrah di dalam pilihan raya tetapi secara prinsipnya kawasan itu adalah kawasan kerusi MIC.
Namun, katanya perkara paling penting ialah strategi berkempen pada pilihan raya kecil itu bagi memastikan rakyat lebih yakin kepada BN berbanding parti pembangkang.
Malahan katanya BN sudah mahir dengan strategi kempen pembangkang dan BN lebih bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.
"Yang penting kita keluarkan strategi yang tepat kerana setiap undi adalah penting bagi kita," katanya.
Pilihan raya kecil parlimen itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.
Penamaan calon ditetapkan 17 April ini.
- Bernama