Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hina mahkamah: Bekas SU politik Dr M dipenjarakan
Diterbitkan:  Apr 1, 2010 10:35 AM
Dikemaskini: 4:15 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menyerahkan perintah penahanan kepada bekas setiausaha politik kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang selepas beliau gagal membayar denda RM20,000 kerana menghina mahkamah.

matthias chang ibrahim ali police report 260608 01 Matthias ( kiri, berbaju cerah ) kemudiannya dibawa ke penjara Kajang bagi menjalani hukuman itu selama sebulan.

Dia dibawa keluar dari mahkamah tinggi sivil oleh Timbalan Pegawai Penjaga Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, ASP Zulkifli Osman setelah waran penahanan diserahkan kepadanya oleh pegawai mahkamah.

Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu dan memberi tempoh seminggu untuk Chang membayar denda itu.

Dia didakwa menghina mahkamah selepas gagal memohon maaf kepada mahkamah selepas berbalah dengan hakim dan seorang peguam semasa soal balas dalam kes saman fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn. Bhd.

Jumaat lalu, Noor Azian juga membatalkan samannya dengan menyatakan Chang gagal membuktikan kes selepas mendengar keterangan saksi dari kedua-dua belah pihak serta penghujahan.

matthias chang ian chin interview 130608 01 Chang, seorang peguam, telah menyaman American Express kerana melanggar perjanjian dan memfitnah kerana kad kreditnya digantung.

Dalam pembelaannya, American Express berkata tidak ada keterangan atau bukti mengenai pelanggaran perjanjian atau fitnah seperti didakwa oleh Chang.

Sebelum ini, Chang berkata beliau bersedia untuk dipenjarakan walaupun ahli Gabungan Persatuan Kwang Siew Malaysia telah mengumpul RM20,000 untuk membayar denda itu.

"Ini soal prinsip. Saya sanggup masuk penjara bagi membuktikan bahawa hakim tidak harus terlepas daripada sikap yang tidak beretika dan kelakuan yang tidak dapat diterima," katanya.

Chang mendakwa Noor Azian enggan menarik balik beberapa komen menghina terhadap peguamnya dalam saman sivil itu apabila mereka cuba menarik perhatian hakim kepada undang-undang relevan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS