Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedia menemui ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Zulkifli yang telah dipecat oleh PKR dan kini menjadi wakil rakyat Bebas membuat dakwaan tersebut semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong sidang Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu.

Menurut Zulkifli, ganjaran yang ditawarkan boleh menggoyangkan iman, tetapi beliau bersyukur kerana dilindungi Allah melindungi daripada terlibat dalam fitnah tersebut.

Zulkifli mengambil kesempatan dalam ucapannya itu untuk memohon maaf kepada mereka yang menurutnya menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini.

Berikutan itu, kata ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, beliau berjanji akan berjumpa dengan mereka secara peribadi bagi memperbetulkan keadaan.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen pada hari yang sama selepas membuat pendedahan tersebut, Zulkifli berkata beliau akan berjumpa dan meminta maaf kepada individu tertentu, termasuk perdana menteri.

Mengulas mengenai hasrat Zulkifli tersebut, perdana menteri berkata: "Saya suka untuk bertemu beliau. Saya mahu mencari kebenaran kerana saya percaya kebenaran akan muncul juga akhirnya."

Najib yang juga presiden Umno memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibunegara malam tadi.

Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap dakwaan Zulkifli itu, perdana menteri berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk menyiasatnya.

"Saya akan biarkannya kepada polis. Saya tidak mengarahkan polis dalam perkara seperti ini. Biarkan sahaja kepada

pihak polis," katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan mengambil keterangan Zulkifli berhubung dakwaannya di Dewan Rakyat itu.

Musa dilaporkan berkata, disebabkan ia satu maklumat terbaru yang diterima polis, maka siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan sama ada pendedahan oleh wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu itu benar atau tidak.

Menurutnya, sebagai prosedur siasatan satu-satu kes, pihak polis akan memanggil mereka yang bertanggungjawab mendedahkan perkara itu bagi membantu siasatan.

ADS