Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM171 juta belanja tahanan warga asing
Diterbitkan:  Mar 23, 2010 6:31 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM171 juta bagi menanggung perbelanjaan tahanan dan banduan warga asing bagi tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

NONE Beliau berkata sepanjang tahun lalu, banduan warga asing yang diuruskan di penjara adalah berjumlah 81,396 orang dan purata sehari tahanan adalah berjumlah 13,392 orang.

Katanya ini menunjukkan kemasukan pekerja asing juga boleh dikaitkan dengan bebanan ekonomi yang meliputi implikasi kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk perbelanjaan pengurusan melibatkan tahanan warga asing.

"Ini termasuk peruntukan yang disalurkan untuk pengurusan pusat-pusat tahanan seperti lokap, penjara dan depoh tahanan Imigresen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli makmal pengurusan warga asing di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata tahanan warga asing yang diuruskan di 13 buah depoh tahanan pula adalah berjumlah 408,979 orang bagi tempoh tiga tahun sejak 2006 dan purata setahun tahanan adalah berjumlah 102,244 orang.

bangladesh foreign workers migrants 030108 Hishammuddin berkata perbelanjaan yang ditanggung kerajaan bagi jumlah kos makan untuk sehari bagi tahanan warga asing di depoh tahun lalu sahaja adalah sebanyak RM341,881.

Selain itu, katanya program penghantaran pulang dan pengusiran warga asing yang diuruskan oleh Jabatan Imigresen dari tahun 2007 hingga tahun lalu melibatkan kos kira-kira RM35 juta.

Beliau berkata kerajaan juga terpaksa berbelanja untuk kos-kos langsung dan tidak langsung yang berkaitan dengan warga asing seperti aspek keselamatan, implikasi sosial dan perkhidmatan kesihatan.

Katanya itu tidak termasuk nilai yang begitu tinggi membabitkan subsidi minyak dan keperluan asas yang diberikan kepada rakyat tetapi hakikatnya turut dinikmati oleh warga asing yang berada di negara ini.

indian workers outside high comm 160505 rain "Melalui makmal ini, kita berharap agar dapat diwujudkan mekanisme untuk memastikan data dan maklumat yang terdapat di semua kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta dapat dikumpul dan diselaras untuk membolehkan analisa kos dan keuntungan dapat diperolehi dengan tepat dan menyeluruh," katanya.

Hishammuddin berkata makmal yang dianggotai seramai 33 ahli daripada kementerian dan agensi yang berkaitan akan bermula secara rasmi pada hari ini untuk mencari kaedah terbaik dalam pengurusan dan pemantauan warga asing.

Katanya mereka diberi tempoh sebulan iaitu sehingga 23 April ini untuk mengemukakan cadangan daripada segi mekanisme agar kerajaan mendapat maklumat tepat dan terkini berhubung analisis perbandingan kos dan keuntungan berhubung kemasukan warga asing ke negara ini.

Katanya penilaian itu meliputi semua sektor terpilih seperti pembinaan, perkilangan, perladangan, perkhidmatan, pelancongan dan pertanian.

Bagaimanapun, katanya beliau berharap mereka dapat mengemukakan cadangan itu kurang daripada tempoh sebulan berikutan ia perlu dibentangkan pada jawatankuasa Kabinet.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS