Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pak Lah: Rukun Negara tak perlu dipinda
Diterbitkan:  Mar 23, 2010 3:13 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata tiada keperluan untuk meminda perkara pertama Rukun Negara kerana sebarang pindaan hanya akan menimbulkan satu lagi polemik.

abdullah ahmad badawi 020209 02 Katanya, kepercayaan kepada Tuhan boleh dipegang bersama seluruh rakyat Malaysia iaitu sama ada beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

"Apabila Jawatankuasa Rukun Negara bincang perkara ini dulu, ia mahu dijadikan satu rukun yang akan dipegang oleh rakyat tanpa menentukan mereka mesti menganuti sesuatu agama yang tertentu," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, Rukun Negara sudah lama menjadi pegangan dan dihayati seluruh rakyat Malaysia sebagai salah satu lambang perpaduan yang mesti diteruskan.

"Apa yang dikehendaki adalah supaya rakyat Malaysia menjadi rakyat yang ada agama. Rakyat mempercayai tuhan. Itu yang telah ditekankan semasa perbincangan Rukun Negara," katanya.

azlan Beliau yang juga pengerusi Ikim berkata demikian ketika mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam untuk meminda perkara pertama Rukun Negara memandangkan nama "Allah" telah digunakan secara meluas termasuk di kalangan bukan Islam.

Hadi meminta kerajaan mengubah Rukun Negara pertama daripada percaya kepada Tuhan kepada percaya kepada Allah.

Seminar selama dua hari itu bertujuan menghargai pemikiran dan sumbangan tokoh-tokoh pemimpin masyarakat terdahulu terutama dalam membawa kegemilangan Islam di Nusantara.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan dalam seminar tersebut oleh para cendekiawan dari pelbagai latar belakang dan institusi.

- Bernama

ADS