Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat Selangor akan membawa usul khas bagi mengecam tindakan Kumpulan Utusan dan penulis kolumnya Awang Selamat kerana didakwa “biadap” terhadap institusi raja di negeri itu.

azlan Bercakap dalam sidang media bersama beberapa lagi ADUN Pakatan - termasuk daripada PAS dan PKR - ADUN Batu Caves Amirudin Shari berkata, tulisan Awang Selamat itu “mempertikaikan” keputusan Sultan Selangor yang membatalkan kehadiran ke mesyuarat agung pertama PERKASA hujung minggu ini.

 “Kami akan membentangkan usul di dalam Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang melaui 12 April ini bagi mengecam tindakan Awang Selamat dan Kumpulan Utusan ,” kata ADUN Batu Caves Amirudin Shari.

Pembukaan penggal baru DUN Selangor bulan depan akan dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan akan berlangsung selama tujuh hari.

adun pakatan selangor Kelmarin, menulis dalam kolumnya di Mingguan Malaysia, di Awang Selamat didakwa membayangkan bahawa kesediaan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadir di mesyuarat agung  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Sabtu ini - walaupun sibuk- adalah lebih baik daripada keputusan Sultan Selangor yang membatalkan kehadiran baginda di majlis itu.

Awang Selamat juga antaranya mempersoalkan “di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya-raya ketika raja-raja Melayu dicabar”.

Dalam tulisan berjudul 'Perkasa, Ibrahim dan kedudukan Melayu' itu, penulis berkenaan itu juga memuji kelantangan presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang dikatakan paling lantang mempertahankan kedaulatan institusi tersebut.

Menurut Amirudin lagi, tulisan tersebut cuba memainkan sentimen perkauman apabila mendakwa usaha PERKASA memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu mendapat tentangan banyak pihak, khususnya masyarakat bukan Melayu.

adun pakatan selangor01 Turut hadir dalam sidang media itu Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Dr Abd Rani Osman (Meru), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Lau Weng San (Bukit Tunku) dan Saari Sungip (Hulu Kelang).

Kumpulan tersebut mengaku mewakili seluruh ADUN Pakatan yang tidak dapat hadir sama dalam sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di Shah Alam tengah hari tadi kerana mempunyai urusan yang lain pada masa tersebut.

Mengulas lanjut usul yang akan dicadangkan mereka, Amirudin berkata, terpulanglah kepada speaker untuk menerima atau menolak usul tersebut untuk dibincangkan.

“Kita ada 14 hari untuk sampaikan (usul ini) kepada speaker. Ataupun boleh boleh juga dimajukan sebagai usul tergempar. Satu hari pun boleh. Atau boleh juga disentuh ketika berucap menjunjung kasih titah Tuanku Sultan (Selangor),” katanya.

Ditanya kewajaran tindakan tersebut, Amiruddin berkata, DUN negeri tempat penggubalan dasar tertinggi akan menghasilkan perdebatan, sekali gus memperjelaskan isu tersebut kepada rakyat di negeri itu.

“Kalau usul tersebut diterima, akan ada debat panjang macam akta ISA dahulu. Saya percaya, keputusan dalam dewan yang mulia akan mempu memperjelaskan isu tersebut kepada rakyat,” katanya.

Utusan Malaysia dan terbitan versi Ahadnya Mingguan Malaysia, khususnya melalui tulisan kolumnisnya, termasuk Awang Selamat, sentiasa mencetuskan kontroversi dan sering menjadi modal kritikan pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS