Dewan Rakyat kecoh hari ini apabila ketua pembangkang diminta menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.
Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) bangun menyatakan perkara itu bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat.
Katanya, beliau meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan hal berkenaan ketika membahas usul menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong pada 17 Mac lalu.
Abdul Rahman juga berkata, ahli parlimen Permatang Pauh dengan jelas menggunakan kenyataan yang memalukan dewan ini semasa membuat kenyataan tersebut.
Tindakan itu bagaimanapun menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang yang bertindak menghalang Kota Belud meneruskan hujahnya, menyebabkan perbahasan tertangguh hampir sejam.
Lim Kit Siang (DAP - Ipoh Timur) berkata Abdul Rahman tidak sepatutnya dibenarkan untuk meneruskan hujahnya kerana beliau berdiri tanpa notis. Beliau turut meminta supaya hujah yang dibuat oleh Abdul Rahman dikeluarkan daripada hansard.
Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee kemudiannya memutuskan, Abdul Rahman membuat hujahan tersebut bagi memaklumkan memaklumkan percanggahan oleh kenyataan Anwar terhadap kenyataan yang disebut oleh Abdul Rahman.
"Saya minta ahli-ahli yang berhormat supaya menghormati dan saya beri peluang kepada Kota Belud untuk teruskan ucapan. Saya belum tahu apa yang Kota Belud hendak cakap. Minta duduk dulu, yang berhormat," katanya
Dengan merujuk kenyataan rasmi parlimen, Abdul Rahman kemudian berkata Anwar mendakwa perdana menteri Israel telah mengunakan khidmat nasihat syarikat Apco pada 1999.
"Saya merujuk mukasurat 76 dalam hansard, (Anwar) menyebut Ehud Barak, perdana menteri Israel pada 1999 mengambil Apco dan Apco menasihatkan Ehud Barak," katanya.
Dewan kemudiannya gamat sekali lagi apabila wakil pembangkang bangun menyatakan bantahan.
"Keputusan saya supaya Kota Belud habiskan ucapan dia," kata timbalan speaker kemudiannya.
Meneruskan ucapannya, Abdul Rahman berkata kerajaan telah menafikan pembabitan Apco dalam mempromosikan kempen 1Malaysia dalam jawapannya kepada ketua pembangkang itu.
"Jadi berdasarkan fakta yang saya sebutkan sebentar tadi, saya berpendapat bahawa Permatang Pauh ternyata telah mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan yang mulia ini.
"Bukan itu saja, perkara ini kalau tidak diperbetulkan, isu ini akan terus dijadikan pemohongan dalam ceramah pembangkang dan di dalam Internet.
Katanya lagi, Anwar juga tidak sabar lagi untuk menjadi perdana menteri sehingga sanggup mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong dan juga angkatan tentera Malaysia.
"Saya lihat ini merupakan satu percanggahan. Ahli parlimen Permatang Pauh diberi tempoh satu minggu untuk betulkan kenyataan ini.
"Jika tidak kerajaan akan bawa beliau untuk dirujuk kepada jawatantankuasa hak dan kebebasan parlimen, jika tidak ada pembetulan dibuat dalam dewan ini," katanya.
Ini kemudiannya menerima bantahan lanjut daripada wakil-wakil pembangkang yang bangun dan berucap serentak, menjadikan dewan gamat dengan celahan daripada wakil-wakil BN.
Antaranya ialah bantahan daripada Saifuddin Nasution (PKR - Machang) yang pernah membuat usul yang sama semasa mencelah penggulungan usul oleh menteri di jabatan perdana menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.
Sekiranya, Anwar gagal memberikan dalilnya, Nazri berkata kerajaan akan membentangkan usul supaya ketua pembangkang itu diheret ke jawatankuasa khas mengenai hak dan kebebasan parlimen.
Kiandee kemudiannya bersetuju dengan cadangan itu memandangkan Anwar tidak berada di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau seterusnya meminta Nazri (BN - Padang Rengas) supaya membuat penjelasan tersebut sekali lagi, berdasarkan peruntukan peraturan mesyuarat yang digunakan Abdul Rahman.
Nazri bagaimanapun mencetuskan satu lagi kekecohan apabila menggunakan perberbandingan jantan dan betina dalam dalam penjelasannya selepas itu.
"Sudah tentu yang saya sebut dalam perbahasan saya tidak berhasrat keliruhkan dewan. Saya rela disiasat, anak betina di sana saya tidak tahu kenapa, takut sangat disiasat," katanya yang jelas ditujukan kepada ketua pembangkang, yang tidak hadir hari ini.
Jawapannya itu kemudian mendapat bantahan daripada daripada wakil-wakil wanita pembangkang yang menyifatkan ucapan Nazri itu bersifat seksis.
Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.