Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Orang Asli bukan sekadar berjalan-jalan ke Putrajaya semalam tetapi membawa harapan yang sangat besar, kata presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) Majid Suhut.

Beliau berkata demikian bagi menolak kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal semalam yang mengatakan masyarakat tersebut bukannya berdemo di putrajaya tetapi sekadar mengunjungi pusat pentadbiran negara itu untuk melancong.

Mengulas lanjut, Majid berkata kenyataan itu mungkin dikeluarkan Shafie berdasarkan persepsi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu terhadap usaha yang dilakukan Orang Asli bagi mempertahankan hak mereka.

orang asli protes putrajaya 02 "Itu kenyataan yang tidak berapa tepat. Mungkin dia salah cakap dan perlu diperbetulkan. Itu persepsi dialah, tapi tujuan kita sebenarnya serius untuk serahkan memo kepada perdana menteri dan juga kepada beliau," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, program dialog dengan Shafie semalam sememangnya tidak dirancang, malah menteri berkenaan mengambil peluang atas kedatangan mereka bagi mengadakan dialog tersebut.

"Rancangan kita bukan untuk dialog. Dialog itu menteri yang buat bila dia sedar kita datang untuk hantar memorandum.

"Orang Asli datang dengan belanja sendiri dan tidak dibiaya oleh mana-mana orang. Mereka datang untuk tengok sendiri saya serahkan memorandum tersebut. Mereka tidak akan percaya jika sekadar dengar cerita orang," katanya lagi.

Katanya lagi, tindakan Orang Asli mengadakan demonstrasi semalam menunjukkan mereka berada dalam keadaan terdesak.

"Kehadiran mereka begitu ramai semalam dan kita juga bimbang jika berlaku suasana tegang atau kecoh. Tapi kita tidak bertindak seperti itu. Kita cuma mahu serahkan memo secara aman," katanya.

memorandum orang asli demo at putrajaya Katanya lagi, Shafie telah beri jaminan untuk memperhalusi tuntutan mereka dan masyarakat itu secara umumnya berpuas hati dengan jaminan yang diberikan.

"Saya juga yakin Orang Asli percaya dia tidak cakap kosong. Kalau dia cakap kosong, mungkin akan berlaku perkara di luar jangkaan. Mungkin akan ada protes yang lebih besar lagi.

"Saya sebagai pemimpin mereka sekadar boleh menasihati. Saya tidak boleh jamin apa tindakan Orang Asli selepas ini sekiranya kerajaan tidak mahu dengar tuntutan kami," katanya lagi.

Sementara itu, seorang pengarah Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) Jerald Joseph pula berkata salah satu sebab Orang Asli berdemonstrasi di Putrajaya semalam adalah kegagalan komunikasi antara Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili masyarakat berkenaan.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat apabila pertubuhan yang mewakili Orang Asli sering gagal mengadakan perbincangan dalam isu kritikal, khususnya dalam isu tanah.

Jerald berkata usaha jabatan tersebut setakat ini hanyalah sekadar memujuk ketua-ketua komuniti Orang Asli supaya menerima Dasar Pemberimilikan Tanah, tetapi enggan membuat perbincangan mendalam dengan NGO Orang Asli.

orang asli protest in putrajaya 170310 "Sangat susah untuk adakan perbincangan kritikal berkenaan isu tanah dengan mereka. Mereka cuma masuk ke kampung-kampung untuk bercakap dengan tok batin.

"Tok batin ini tidak berapa sedar dengan kesan-kesan daripada dasar tanah ini, jadi apabila JHEOA datang, mereka cuma duduk dan dengar sajalah.

"Sebab itu penting untuk libatkan NGO dalam perbincangan ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jerald menjelaskan, pertubuhan yang dimaksudkannya itu termasuk Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan Jaringan Kampung Orang Asli Semalaysia (JKOAS).

"(JKOAS) ini masih agak baru ditubuhkan tetapi ia digerakkan oleh tokoh-tokoh yang sudah lama dan fasih dengan isu-isu melibatkan Orang Asli seperti Tijah Yok Chopil," katanya lagi.

Tambahnya, masyarakat berkenaan perlu menempuh proses yang panjang sebelum berjaya mengusahakan dan menduduki tanah milik mereka sendiri.

"Apa yang mereka tuntut sekarang ini ialah supaya tanah mereka diberikan hak milik kumpulan dan bukan dipecah-pecahkan menjadi milik individu.

"Tambahan pula, hanya lebih kurang separuh daripada mereka yang dapat milik tanah ini, banyak yang belum dapat hak milik.

"Ini pun mengikut kemampuan negeri masing-masing untuk berikan tanah itu kepada mereka," katanya lagi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS