Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guna pesawat polis: Mahkamah bebaskan Ramli
Diterbitkan:  Mar 18, 2010 2:43 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Mahkamah Tinggi Sabah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Yusoff ( bawah, bersongkok ) terhadap dakwaan menggunakan pesawat polis untuk tujuan peribadi hampir tiga tahun lalu.

Ini adalah kali kedua yang dimenangi Ramli dalam kes mahkamahnya.

ramli yusuff asset declare case 120310 05 Penghakiman hari ini dibuat oleh Hakim Abdul Rahman Sebli yang berkata tuduhan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai banyak kesilapan dari awal perbicaraan lagi.

"Selepas menyemak bukti yang berkaitan dan asas penghakiman oleh hakim mahkamah sesyen, saya mendapati hakim (mahkamah sesyen) itu tidak silap. Oleh itu kami mengenepikan rayuan ini," kata  Abdul Rahman.

Sebelum ini dalam hujah untuk mengenepikan keputusan mahkamah sesyen itu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache berkata hakim mahkamah sesyen gagal menilai permohonan di bawah undang-undang di mana Ramli, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, didakwa.

Pada 27 Julai tahun lalu hakim Supang Lian berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan Ramli, 57, wajar dilepas dan dibebaskan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kevin Morais dan Joyce Blasius, memanggil 75 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 59 hari antara 13 Mei 2008 dan 6 Julai tahun lepas.

ramli yusuff asset declare case 120310 muhammad shafee abdullah Ramli, yang ketika itu diwakili oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah ( kanan ) dan James Tsai, didakwa pada 19 Nov 2007 atas tuduhan menyalahguna kuasanya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk perolehan kewangan dengan mengarahkan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan Polis Diraja Malaysia untuk membawanya melakukan pengawasan dari udara terhadap dua lot di Ulu Tungku, Lahad Datu, di mana syarikat hartanahnya Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7.50 pagi pada 15 Jun 2007 di Unit Udara Polis Sabah, Tanjung Aru dekat Kota Kinabalu.

Ramli mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum RM10,000 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah, dan telah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

   


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS