Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim hari ini meminta Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee supaya mengajukan permohonan rasmi kepada kementerian untuk mendapatkan dana bagi menghasilkan filem 1Malaysia.
"Kena tulis surat dulu, baru kita layan," kata Rais ( kanan ) apabila diminta mengulas niat Namewee untuk memohon dana berkenaan bagi menjayakan filemnya.
Namewee semalam dilaporkan berkata beliau telahpun menyiapkan skrip bagi filem berkenaan.
"Tak bolehlah cakap mulut saja. Dia kena tulis surat dulu," kata Rais lagi apabila diminta mengulas sekiranya ada syarat tertentu ditetapkan untuk Namewee.
Dana pembanguna kreatif diumumkan kerajaan Oktober lalu dalam bajet 2010.
Namewee yang pernah dilanda kontroversi melalui klip video 'Negarakuku', pada sidang medianya semalam berkata dia bercadang untuk memohon geran kerajaan bagi membiayai filemnya yang berkonsepkan '1Malaysia.'
Katanya, dia ingin menggunakan cara sendiri untuk menampilkan konsep 1Malaysia, dan yakin gayanya itu akan diterima dengan baik oleh generasi muda Malaysia.
Menurut Namewee ( kiri ), walaupun kebanyakan daripada kawan-kawan penerbit filemnya yang berbangsa Cina memberitahu bahawa dia tidak akan mendapat sokongan kewangan itu, namun dia mahu membuktikan tanggapan itu adalah tidak benar.
Katanya, mereka semua adalah rakyat 1Malaysia, dan tanpa mengira bangsa Melayu, India atau Cina, mereka termasuk dirinya berhak menerima sokongan daripada kerajaan.
Namewee juga berkata skrip filem 1Malaysia telah siap dan ini adalah filem pertama arahannya, yang dicadang ditayang pada tahun ini.
Tambahnya, beliau akan mengumumkan perkembangan permohonannya itu melalui video di laman Youtube .