Ketua pengarang, akhbar China Press telah diarah untuk meletakkan jawatannya berhubung laporan yang mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah mengemukakan surat peletakan jawatannya, kata Lim Kit Siang.
Kata Lim, jika pengarang itu berdegil, akhbarnya akan menghadapi hukuman gantung selama tiga bulan hingga enam bulan.
Supremo DAP itu berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen selepas mengetuai ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan hari ini selepas tidak dibenarkan membahaskan usul yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Hishammuddin nafi dakwaan
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menafikan dakwaan yang pengarang
China Press
telah diarahkan supaya meletakkan jawatan.
Bercakap kepada media, juga di lobi Parlimen, Hishamuddin berkata KDN hanya mengeluarkan surat tunjuk sebab dan akhbar berkenaan sudahpun memberikan jawapan.
"Setahu saya, editor berkenaan tidak diarah letak jawatan. Mereka (MP Pakatan) akan mensensasikan dan mempolitikkan sebarang isu..Ia lansung tidak ada kaitan dengan usul yang dibawa hari ini," katanya.
Menurutnya, beliau sendiri belum meneliti surat tunjuk sebab
China Press
berhubung laporan tersebut.
"Apa yang kita lakukan untuk minta
China Press
beri penjelasan, tiada beza dengan apa dilakukan kepada
The Star
dan
Al-Islam
," katanya.
Hishammuddin berkata dakwaan pembangkang kononnya hukuman telah dikenakan ke atas China Press adalah tidak bertanggungjawab sepertimana tindakan anggota parlimen pembangkang yang keluar dewan hari ini.
Rata-rata anggota parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak dibenarkan membahaskan usul KDN berkenaan arahan kepada ketua polis untuk memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa bagi memudahkan anggota parlimen.
Hishammudin berkata usul itu, yang dibentangkan pada awal persidangan hari ini, adalah bagi memastikan keselamatan di Parlimen.
"Saya perhatikan tidak semua ahli parlimen Pakatan menyertai tindakan keluar dewan hari ini. Malah ada yang tidak bersetuju dengan perkara itu," katanya.
Pada 2006, China Press juga menghadapi tindakan digantung berhubung laporan insiden seorang wanita, yang diarah berbogel dan melakukan ketuk-ketampi di sebuah balai polis yang didakwa mereka sebagai rakyat negara China.
Laporan skandal itu dikatakan hampir mencetuskan ketegangan antara Malaysia dengan China.
KDN dikatakan hanya berpuas hati setelah pengarang kanan akhbar itu meletakkan jawatan mereka.
Sementara itu, usaha
Malaysiakini
untuk menghubungi
China Press
untuk bercakap dengan ketua pengarangnya, Teoh Yang Koon masih belum berhasil.
China Press Sabtu lalu, melaporkan bahawa Musa akan bersara sebelum sambutan Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempatnya akan diganti oleh timbalannya Tan Sri Ismail Omar.
[Berita penuh menyusul]