Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Kulim Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin hari ini mengelak daripada menyahut cabaran debat yang dibuat oleh wakil rakyat PAS Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Menjawab soalan pemberita, Zulkifli enggan mengulas secara langsung, sebaliknya meminta Khalid terlebih dahulu berdebat dengan pemimpin PAS yang turut berpandangan bahawa kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

“Selesaikan masalah dia dahulu (sebelum berdebat dengan saya),” kata Zulkifli selepas perasmian parlimen untuk penggal ketiga hari ini.

NONE Walaupun pendirian rasmi PAS berpandangan penggunaan kalimah Allah boleh digunakan masyarakat bukan Islam, tetapi masih terdapat pemimpin kanannya seperti Timbalan Mursyidul Am Datuk Datuk Haron Din yang dilaporkan mempunyai pandangan sebaliknya.

Setelah dipecat daripada PKR kerana didapati bersalah membuat laporan polis terhadap Khalid, Zulkifli telah dua kali dicabar berdebat oleh ahli parlimen Shah Alam itu.

Menulis dalam blognya pada 11 Mac, Khalid berkata, beliau sedia berdebat berhubung isu itu bagi melihat siapa yang berhujah menggunakan al-Quran dan hadis dan siapa yang bertindak berdasarkan sentimen.

Mengulanginya lagi pada sidang media di Shah Alam sehari selepas itu, Khalid dilaporkan berkata, beliau sedia berdebat dengan Zulkifli pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Zulkifli sebelum ini dipecat daripada PKR selepas disabitkan bersalah membuat laporan polis terhadap Khalid - yang dilaporkan menyifatkan enakmen yang melarang penggunaan kalimah Allah sudah ketinggalan zaman dan perlu dibincangkan semula.

ADS