Seorang profesor dari Universiti Malaya (UM) mendakwa media alternatif baru memberi kebebasan tanpa sempadan untuk sesiapa sahaja untuk bersuara, menyebabkan isu sensitif mengenai hak istimewa orang Melayu dan bumiputera dibicara secara emosional dan provokatif.
Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar dari Jabatan Pengajian Media UM, berkata ia dilakukan tanpa memikirkan implikasinya terhadap aspek keselamatan dan perpaduan kaum.
"Ruang media ini seharuskan dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dalam mendidik generasi muda untuk berfikir secara matang dan rasional," katanya yang juga ketua 11 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).
Beliau menegaskan demikian dalam kertas kerjanya di Wacana 153 anjuran Gapena dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.
Menurutnya lagi, semua pihak yang terlibat seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam mengawal diri sendiri dan melengkapkan akal dengan ilmu dan fakta secukupnya sebelum melontarkan pendapat di ruang siber.
"Anak-anak muda juga perlu berdamping dengan golongan berpengalaman dan intelektual serta mencari landasan perjuangan yang jelas supaya perjalanan mereka tidak menyimpang.
"Gabungan persatuan yang terdiri daripada generasi muda Melayu perlu diwujudkan bagi menjayakan agenda perpaduan Melayu dan mempertahankan hak orang Melayu dalam perlembagaan," katanya.
Selain Dr Abdul Latiff, tiga lagi tokoh akademik diundang bagi mengupas isu tersebut, iaitu pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam, Timbalan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek dan pakar pengajian antarabangsa Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar.
Dalam pembentangannya, Dr Ramlah menyarankan orang Melayu kembali menghayati sejarah, termasuk bagaimana perlembagaan yang memberi keistimewaan kepada mereka terbentuk.
Katanya, banyak fasal dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin keistimewaan tersebut, antaranya menetapkan Islam menjadi agama rasmi, Yang Di-pertuan Agong sebagai ketua negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan peruntukan tanah rizab Melayu.
Berhubung kedudukan agama Islam, Dr Ramlah berkata, perkara tersebut dirakamkan lebih awal dalam Hukum Kanun Melaka.
"Islam didaulatkan oleh kerajaan Melaka, walaupun selepas itu, Melaka jatuh, kemudian Islam diteruskan di negeri-negeri lain dan menjadi amalan (berterusan),” katanya.
Mengulas mengenai bahasa pula, Dr Ramlah berkata, sejarah membuktikan Melaka pernah menjadi sebuah empayar perdagangan dengan menggunakan bahasa Melayu.
“British suatu masa dahulu mengadakan satu sesi belajar bahasa Melayu, dengan tulisan jawi di London," katanya.
Sementara itu, Dr Mohamad pula merumuskan terdapat tiga aliran pemikiran yang berbeza apabila mengupas tentang hak keistimewaan orang Melayu di negara ini.
Golongan pertama katanya, kumpulan konservatif yang mempertahankan apa sahaja yang terkandung dalam Perkara 153, seperti yang dilakukan ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Kumpulan kedua pula, menurut Dr Mohamad, adalah kumpulan yang “bersifat politik dan pragmatik”, yang mengeluarkan "suara-suara sumbang" dengan menuntut pemansuhan "tongkat Melayu".
Manakala kumpulan ketiga, tambahnya, golongan yang mahu mahukan hak sama taraf untuk semua kaum, bersesuaian dengan hak asasi manusia dan desakan globalisasi.