Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah mengkritik keras PKR yang memecatnya dan beberapa pemimpin kanan parti itu, ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin kini mensasarkan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

NONE Menulis dalam blognya, Zulkifli ( kiri ) berkata, Anwar patut melepaskan jawatan ketua pembangkang kepada DAP dengan mengambil kira konvensyen berparlimen dan nilai demokrasi.

“Menurut konvensyen berparlimen yang diamal (kita) dan nilai-nilai demokrasi, jawatan ketua pembangkang seharusnya dipegang oleh pemimpin DAP, iaitu Lim Kit Siang (Ipoh Barat) kerana DAP mempunyai kerusi terbanyak," tulisnya.

PKR kini kehilangan empat ahli parlimen (tiga keluar parti dan satu dipecat). Dengan itu, jumlah ahli parlimen PKR berkurangan daripada 31 kepada 27 orang.

Ekoran itu, DAP kini mempunyai kerusi terbanyak (28 kerusi) dalam Dewan Rakyat. PAS pula kekal dengan 23 kerusi.

Pada lazimnya, pembangkang yang terkuat dalam parlimen akan melantik seorang wakil mereka sebagai ketua pembangkang.

NONE Menulis dalam blognya pagi ini, Zulkifli berkata, jika beliau menjadi penasihat strategi dan politik kepada Anwar ( kanan ), beliau akan menasihatkan ketua umum PKR itu mengosongkan kerusinya dan tidak berada dalam dewan ketika usul pertukaran tersebut dibincangkan.

Menurut Zulkifli lagi, tindakan tersebut akan memperlihatkan Anwar tidak terlalu mahukan jawatan, sekaligus, menunjukkan DAP dan PAS dilihat sebagai penyokong setia PKR.

“Tetapi malang, saya percaya DSAI (Anwar) telah diberi nasihat yang salah,” katanya sambil mengulangi dakwaan terdapatnya firaun kecil dalam PKR, yang telah disebutkannya berkali-lagi.

Walaupun menyifatkan tindakan Anwar mengekalkan jawatannya dalam parlimen sebagai tidak salah, Zulkifli bagaimanapun berkata ia bertentangan dengan amalan berparlimen dan nilai demokrasi “yang dipertuhankan sangat”.

“Ini cakap tak serupa bikin. Apa yang terjadi sekarang, atas nasihat firaun-firaun kecil ini, DSAI kelihatan di mata rakyat terlalu ghairah dengan jawatan ketua pembangkang sehingga mengenepikan kenvensyen amalan berparlimen dan nilai demokrasi,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS