Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap premis menjual aksesori seks di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Setiausaha PKPIM, Khairul Anuar Musa berkata, premis berkenaan menjual pelbagai produk seks seperti pil dan ubatan yang berbahaya dan diragui tahap keselamatannya, kondom dan alat permainan seks.
"Penjualan secara terbuka yang dilakukan oleh premis tersebut secara tidak langsung telah menggalakkan perlakuan seks bebas, khususnya di kalangan remaja masakini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Pada waktu masyarakat didedahkan dengan peningkatan bilangan kes penzinaan dan perbuatan buang bayi serta pelbagai gejala sosial yang lain, (maka) penjualan aksesori seks ini pasti menambahkan parah dan memburukkan lagi keadaan sosial masyarakat Malaysia," katanya.
Khairul Anuar berkata, penjualnya hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan tidak kisah terhadap persoalan moral masyarakat.
Sikap sedemikian, tambahnya, mampu membantutkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju.
"Dan pada masa yang sama rakyatnya tetap teguh dan kukuh dengan pegangan nilai moral dan agama masing-masing," tegasnya.
Menurut Khairul Anuar, persoalan akhlak dan moral masyarakat perlu dititikberatkan agar ia tidak membawa bencana kepada negara suatu masa kelak.
"Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat mampu meruntuh dan membinasakan sesebuah negara dan tamadun.