Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ( bawah ) hari ini mencabar ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu meletakkan jawatan kerana “mengambil kerusi yang bukan miliknya”.

selangor pakatan convension 070310 wan azizah “Petang ini saya cabar Zulkifli letak jawatan. Kalau hendak lawan, kalau hendak kritik, kritiklah (pihak) lawan, bukan kawan.

“Ini isu disiplin parti, bukan isu Islam,” katanya ketika menyampaikan amanat dalam konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di Shah Alam.

Selepas dipecat daripada PKR semalam, Zulkifli - yang didapati bersalah membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad - enggan merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan.

Pemecatan Zulkifli semalam menjadikan PKR kehilangan empat kerusi parlimen dalam masa terdekat. Tiga lagi sebelum ini meletakkan jawatan dan menjadi wakil bebas.

Mengulas lanjut isu ahli parlimen parti itu yang meninggalkan parti seorang demi seorang, Wan Azizah menyatakan kekecewaannya ekoran tindakan itu, lebih-lebih lagi apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menghadapi tuduhan liwat di mahkamah.

selangor pakatan convention general “Pada (menjelang) 16 September (tahun lepas) semua datang. Tetapi apabila saudara Anwar difitnah sekali lagi, siapa yang tingglkan kita?

"Siapa yang tinggal (bersama kita). Biarkan mereka, biarkan luncai dengan labu-labunya,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Wan Azizah ketika diminta mengulas lagi isu keengganan Zulkifli mengemukakan rayuannya terhadap parti berkata:

“Beliau sebagai seorang yang berprinsip patut mengosongkan kerusi (parlimen) itu dan memberi peluang kepada pemilih kawasan itu sama ada mereka memilih individu atau memilih parti”.

Ditanya sama ada PKR sekarang umpama “kapal yang sedang tenggelam”, beliau sekali lagi menafikannya.

“Dulu PKR hanya mempunyai satu kerusi di parlimen, tetapi kita tidak karam. Kenapa kita perlu karam, sekarang kita ada 27 kerusi.

“Tidak,” katanya sambil mengangkat tangan kanannya - isyarat tidak - kepada wartawan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS