Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umno mengambil alih jawatan pengerusi BN bahagian Batu daripada Gerakan disebabkan gerak kerja parti komponen BN itu "amat berkurangan" selepas pilihan raya umum 2008.

"Mereka kurang aktif. Tumpuan asas kita nak menang pilihan raya kecil atau umum. Yang dilihat sekarang Umno yang banyak buat kerja," kata ketua Umno bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani.

Yahya dilantik baru-baru ini sebagai pengerusi BN bahagian Batu.

"Kita anjur lebih 200 program, dengan memberi bantuan dan khidmat kepada rakyat. Kita turun berjumpa rakyat.

"Jadi pimpinan lihat kita bekerja... bukan saya minta jawatan tersebut," katanya ketika dihubungi  Malaysiakini pagi ini.

Yahya diminta mengulas dakwaan bahawa Umno Batu  merampas jawatan tersebut yang secara tradisinya disandang oleh Gerakan sejak 22 tahun lalu sehingga pilihan raya umum 2008 di mana kerusi parlimen itu tersebut direbut oleh Tian Chua dari PKR.

Dilaporkan pelantikan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli Gerakan di Batu. Malah seorang daripadanya menyifatkan perkembangan terbaru itu, sebagai ”amat buruk”.

Perkembangan terbaru ini juga, dipercayai berkait khabar angin yang bertiup kencang bahawa pilihan raya kecil parlimen Batu akan diadakan.

Oktober tahun lalu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR dihukum enam bulan penjara dan denda RM3,000 selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menggigit anggota polis.

Beliau akan hilang kerusi parlimennya itu jika rayuannya yang dijadualkan didengar pada 13 April ini ditolak.

Mengulas lanjut, Yahya menafi sekeras-kerasnya Umno 'merampas' kerusi tersebut daripada Gerakan.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah kehendak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yasin, masing-masing selaku pengerusi dan timbalan pengerusi BN.

Katanya, badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan mencadangkan beliau dilantik memegang jawatan tersebut, yang kemudiannya dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.

Yahya berkata walaupun dilantik memegang jawatan tersebut, tetapi beliau tidak semestinya menjadi calon dalam pilihan raya umum atau kecil yang akan datang.

"Pada saya, kalau Umno jadi calon, agak berat nak menang sebab pengundi Cina adalah penentu. Gerakan sendiri pun boleh letak calon. Umno akan memberi sokongan sepenuhnya," katanya.

Menurut Yahya, beliau belum surat rasmi pelantikannya itu telah dimaklumkan mengenainya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS