Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, selepas mengadu sakit dada, kira-kira jam 5 petang, semalam.
Setiausaha akhbarnya Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika menjalani pemeriksaan di klinik jantung universiti itu, Nik Aziz merasa sakit di dada sebelah kiri.
Nik Aziz kini ditempatkan di wad orang kenamaan di hospital tersebut, tambah Ahmad Fadhli kepada Malaysiakini hari ini.
Masalah kesihatan Nik Aziz itu dipercayai menyebabkannya tidak dapat menyambut Sultan Kelantan yang berangkat pulang hari ini dari mendapatkan rawatan perubatan di Singapura.
Ditanya tentang tahap kesihatan semasa mursyidul am PAS itu, Ahmad Fadhli berkata Nik Aziz semakin pulih.
“Pukul 12.00 tengah hari tadi saya melawat beliau. Keadaannya alhamdulillah bertambah baik. Sudah (boleh) baca surat khabar.”
Tambahnya, Nik Aziz dijangka dapat keluar daripada wad dan bertugas seperti biasa tidak berapa lama lagi.
“Tengoklah dalam dua, tiga hari lagi,” kata Ahmad Fadhli lagi.