Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman MB S'gor terhadap Bank Islam, 15 Mac
Diterbitkan:  Mar 2, 2010 1:46 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan empat hari mulai 15 Mac untuk mendengar saman difailkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), yang mendakwa bahawa terdapat penjualan yang salah saham-saham miliknya dalam Kumpulan Guthrie Berhad.

NONE Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas menemui peguam yang mewakili Abdul Khalid ( kiri ), M Thomas Philip, dan peguam bank berkenaan, Ganesan Nethi.

Pada 21 Ogos, 2009, Abdul Khalid diperintahkan membayar RM66.67 juta kepada BIMB berhubung pinjaman Islam beliau untuk memberi saham Guthrie pada 2001 ketika beliau menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat itu, selepas mahkamah membenarkan permohonan bank bagi mendapatkan penghakiman.

Mahkamah, bagaimanapun membenarkan permohonan Abdul Khalid untuk menggantung perintah berkenaan sementara menunggu perbicaraan samannya terhadap bank itu.

Permohonan rayuan Abdul Khalid terhadap perintah itu akan didengar Mahkamah Rayuan esok.

Abdul Khalid memfailkan saman terhadap bank itu pada 18 Mei, 2007, dengan mendakwa bahawa terdapat penjualan yang salah saham-saham dalam Guthrie mengikut kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April, 2001.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa ada kontrak kolateral antara beliau dan bank itu berhubung kemudahan pinjaman BBA.

Abdul Khalid, yang merupakan CEO Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB, dengan mendakwa bahawa bank itu telah menjual saham-sahamnya dalam Guthrie.

BIMB memfailkan saman balas untuk mendapatkan jumlah wang itu pada 24 Mei 2007, dengan mendakwa bahawa perjanjian Al-Bai Bithaman Ajil telah dilanggar berikutan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman itu.

- Bernama

ADS