Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Kulim Bandar Baru Zulkifli Noordin menafikan desus-desus bahawa beliau akan keluar PKR hari ini.

"Tidak sesekali. Tidak sesekali," katanya kepada Malaysiakini tengah hari ini.

Setelah diperkatan beberapa minggu, cakap-cakap tersebut kembali bertiup kencang hari ini apabila sebuah akhbar menghantar SMS berita, melaporkan satu sidang media bagi mengumumkan peletakan jawatan itu akan dibuat.

Spekulasi itu dikuatkan lagi dengan tindakan seorang lagi ahli parlimen PKR Tan Tee Beng (Nibong Tebal) yang keluar parti, sekaligus menjadi wakil bebas pagi ini - mengikuti jejak langkah ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

NONE Ketika dihubungi, Zulkifli berkata beliau tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengadakan apa-apa sidang media, bahkan “tidak pernah terfikir” untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, ahli parlimen kontroversi itu sekali lagi menegaskan, beliau tidak akan melepaskan “firaun-firaun kecil dalam PKR”.

Ditanya sama ada beliau bakal melompat menjadi ahli Umno, peguam muda tersebut sempat berseloroh: “Bukan Umno, masuk DAP. Saya hendak jadi setiausaha agung DAP (ketawa).”

Tidak hadir ke prosing lembaga disiplin

Kira-kira jam 3 petang tadi, Zulkifli tiba di ibupejabat PKR di Petaling Jaya di mana lembaga disiplin PKR bermesyuarat untuk memutuskan nasibnya.

Beliau dituduh melakukan dua kesalahan dengan membuat laporan polis terhadap ahli parlimen PAS Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah dan mengkritik setiausaha agung DAP dan Ketua Menteri Pulang Pinang Lim Guan Eng.

Mengulas prosiding lembaga tersebut petang ini, Zulkifli berkata beliau telah menghantar notis bagi memohon penjelasan - mengandungi lapan perkara - berhubung pertuduhan-pertuduhan terhadapnya, tetapi sehingga kini tiada sebarang balasan.

Surat tersebut, tambahnya diserahkan pada 16 Februari - tarikh awal perbicaraan kesnya - antaranya meminta penjelasan sama ada lembaga tersebut boleh berlaku adil ketika banyak pemimpin kanan PKR mahu beliau dipecat.

Katanya, perbicaraan serentak dua pertuduhan itu juga akan mewujudkan prasangka di kalangan panel lembaga tersebut terhadapnya.

Zulkifli juga mempersoalkan kenapa tidak ada tindakan yang sama terhadap pemimpin PKR lain seperti Wee Choo Keong (Wangsa Maju) yang turut dilaporkan bakal menghadapi tindakan yang sama.

“Pilih kasih, itu yang saya sebut dalam surat itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS